Ketua Polis Negara, Razarudin Husain mempersoalkan mengapa dakwaan bahawa pembangkang mempunyai bilangan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan dibuat oleh mereka yang tidak mempunyai autoriti.
Katanya, sekiranya dakwaan tersebut benar, sudah pasti ia datang daripada pemimpin parti berkenaan.
“Sekiranya betul nak berlaku (pertukaran kerajaan), ketua parti atau setiausaha akan bawa menghadap Agong ataupun membawa pendedahan di dalam parlimen mengatakan bahawa kita ada sekian nombor, buat undi tak percaya dalam parlimen,” kata Razarudin pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Razarudin turut menjelaskan polis telah membuka kertas siasatan berhubung usaha untuk menjatuhkan kerajaan.
Menurutnya, suspek utama ialah penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang baru-baru ini mendakwa pembangkang telah mendapat sokongan 120 ahli parlimen.
Razarudin berkata, jika pengumuman itu dibuat oleh ketua atau setiausaha agung parti, maka ia adalah perkara berbeza.
“Kalaulah pengerusi parti, setiausaha cakap, tu lain dia ada autoriti cakap, Ini orang yang tak autoriti, tak ada locus standi cakap,” katanya.
Dia berkata dakwaan sedemikian hanya akan menganggu gugat kestabilan negara, malah boleh menakutkan kemasukan pelabur asing.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ahmad Shah hari ini bertitah bahawa baginda tidak akan terlibat dalam percaturan politik.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru turut bertitah tidak akan menerima mana-mana pihak menghadap baginda sehingga 31 Jan ini.
Parlimen akan bersidang pada penghujung Februari.