Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Wednesday, September 18, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesKami mahu gencatan senjata kekal, kata duta Palestin

    Kami mahu gencatan senjata kekal, kata duta Palestin

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali menyatakan bahawa yang mereka mahukan adalah gencatan senjata yang berkekalan dan mewujudkan koridor kemanusiaan segera.

    Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Israel supaya menghentikan pencerobohannya terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pendudukan di Tebing Barat, sambil menambah bahawa rejim Israel tidak akan pernah menghentikan kekejamannya terhadap rakyat Palestin.

    “Pagi ini, mereka menyerang Tulkarem di Tebing Barat yang diduduki di sebelah Utara. Serangan Israel menyasarkan semua rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Mereka percaya bahawa satu-satunya rakyat Palestin yang baik adalah rakyat Palestin yang sudah meninggal dunia.

    “Kerajaan (Presiden Amerika Syarikat) Joe Bidenlah yang sepatutnya menghalang (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu daripada membunuh penduduk Palestin yang tidak bersalah itu,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai di Kedutaan Palestin di sini pada Rabu.

    Kerajaan Israel dan Hamas pada Rabu bersetuju untuk mengadakan genjatan senjata selama empat hari dengan Qatar sebagai pengantara.


    “Kebimbangan utama Benjamin Netanyahu kononnya untuk membebaskan “tebusan”. Tetapi saya (Walid) memanggil mereka tahanan bukan tebusan kerana terdapat 7,000 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel,” katanya.

    Beliau juga menekankan bahawa manusia tidak boleh berpecah-belah dan mengapa rakyat Palestin diberikan layanan yang tidak adil oleh masyarakat antarabangsa sedangkan rakyat Palestin mempunyai hak untuk menentang pendudukan Israel.

    Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya memberi tekanan kepada Israel untuk mewujudkan koridor kemanusiaan yang selamat untuk penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza yang sedang bersiap sedia untuk menghadapi musim sejuk.

    ALSO READ:  Tennis-Alcaraz, Djokovic a class apart from chasing pack, says Zverev

    Walid menekankan bahawa hampir 1.5 juta rakyat Palestin dipaksa berpindah ke wilayah selatan Gaza, dan terpaksa berdepan cuaca buruk dan kehilangan tempat tinggal.

    “Komuniti antarabangsa mesti memaksa Israel membenarkan koridor kemanusiaan dan membenarkan bantuan luar seperti ubat-ubatan, air, makanan, bahan api dan semua keperluan asas kemanusiaan ke Gaza,” katanya.

    Sekurang-kurangnya 14,128 rakyat Palestin telah dibunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt, termasuk 5,600 kanak-kanak dan 3,500 wanita. Selain itu, 218 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh di Tebing Barat.

    Duta itu juga menasihatkan rakyat Malaysia supaya menyalurkan sumbangan mereka kepada perjuangan Palestin melalui akaun bank yang sah yang diuruskan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) dan bukan melalui pihak ketiga.

    “Pada masa ini, Wisma Putra adalah satu-satunya entiti yang dibenarkan untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Bulan Sabit Merah Mesir dan Bulan Sabit Merah Palestin,” katanya.

    Beliau berkata rakyat Malaysia yang prihatin juga boleh menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin di negara ini, khususnya pelajar yang terputus hubungan dengan keluarga di Gaza.

    “Keluarga mereka tidak lagi boleh menaja mereka di Malaysia dan beberapa universiti telah memulakan projek untuk membantu pelajar Palestin yang menghadapi masalah kewangan,” katanya.

    Pada masa ini, terdapat 4,000 rakyat Palestin di Malaysia, termasuk 1,000 orang yang sedang melanjutkan pengajian.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,255FansLike
    1,158FollowersFollow
    1,051FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts