Pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, Premesh Chandran mempertahankan perananan syarikat itu sebagai pengendali Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) di Selangor.
“Kami akan mengeluarkan kenyataan penuh pada Isnin (27 Mei). Percayalah, segala-galanya di landasan betul, kami tidak akan terlibat dalam perkara yang tidak beretika atau curang,” katanya dalam catatan di media sosial.
Premesh mengulas isu dibangkitkan mengenai kemungkinan terdapat layanan istimewa memandangkan ketua pegawai eksekutif Asia Mobility, Ramachandran Muniandy ialah suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pada Isnin lalu, pengerusi jawatankuasa Pelaburan, perdagangan dan mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata Asia Mobility ialah salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.
Tambahnya, kedua-dua syarikat itu telah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dengan latar belakang kukuh dalam perniagaan dan pembangunan perisian, Ramachandran telah melakukan tugas yang hebat dalam membina pasukan yang cemerlang, memenangi anugerah dan mendapat beberapa pusingan pembiayaan.
“Kami amat berbangga kerana memiliki penyelesaian perisian dan perkakasan kelas terbaik, dibina di Malaysia oleh rakyat Malaysia.
“Impian kami adalah untuk menjadikan pengangkutan awam berfungsi lebih baik di bandar, supaya kita mengurangkan penggunaan kereta dan mengurangkan pelepasan karbon, dengan pengangkutan yang berpatutan dan lebih pantas untuk semua,” tambahnya.
Apa itu DRT?
“Seperti e-hailing, pengguna boleh menggunakan aplikasi untuk memanggil kenderaan ke tempat pengambilan.
“Bagaimanapun, kenderaan itu—biasanya van besar atau bas kecil—hanya akan menurunkan pengguna dalam zon yang ditetapkan dan boleh mengambil penumpang lain jika terdapat permintaan berdekatan. Zon ini biasanya merangkumi tempat-tempat biasa berdekatan seperti stesen LRT atau MRT, universiti, kedai, dan sebagainya.
“Bagi pengguna, mereka mendapat perkhidmatan dari lokasi ke lokasi yang mereka biasa gunakan dalam e-hailing, pada kos tetap yang rendah, seperti tambang bas.
“Bagi kerajaan, memandangkan kenderaan digunakan mengikut permintaan, kos bahan api dan operasi dapat dikurangkan, terutamanya apabila banyak bas tidak dinaiki semasa waktu puncak,” jelasnya.
Pada masa ini, Premesh berkata kerajaan Selangor sedang mencuba perkhidmatan ini di lapan zon yang mendapat permintaan tinggi dan laluan yang lebih sempit.