Polis akan mencatat keterangan ibu bapa kanak-kanak lelaki warga asing berusia lima tahun yang ditemui mati selepas jatuh ke dalam kolam renang dari tingkat 21 di sebuah kondominium di Bandar Putra Permai, Kuala Lumpur pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP AA Anbalagan mengatakan keterangan awal dari ibu bapa mangsa telah diambil di tempat kejadian, tetapi kedua-dua mereka akan dipanggil esok untuk proses rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Rakaman percakapan ibu bapa mangsa masih belum diambil kerana memberi masa untuk menguruskan jenazah dan setakat ini tiga individu telah diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Anbalagan menyatakan hasil bezah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Serdang memperincikan punca kematian adalah kecederaan pelbagai akibat terjatuh dari tempat yang tinggi.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Yaman maut selepas terjatuh dari tingkat 21 dan kejadian ini dikesan oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di sekitar kolam renang yang terletak di tingkat tujuh di kondominium tersebut.
Anbalagan dilaporkan berkata pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami patah kaki kiri dan terdapat pendarahan di telinga dan hidung.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa ibu bapa mangsa berada di bilik tidur manakala mangsa di ruang tamu.
“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh dari tingkap di ruang tamu,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
– Bernama