Karya agung Pablo Picasso tahun 1932 “Femme A La Montre” dijual pada harga hampir AS$140 juta dalam lelongan di New York pada Rabu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ia merupakan karya kedua Picasso yang paling mahal dijual di lelongan, mencecah AS$139.4 juta, menurut rumah lelongan Sotheby’s. Pada 2015, “Les Femmes d’Alger (Versi ‘O’)” Picasso dilelong di Christie’s di New York pada harga AS$179 juta.
Sotheby’s berkata lukisan itu, yang merupakan potret kekasihnya Marie-ThĂŠrèse Walter, dibeli oleh pengumpul Emily Fisher Landau pada 1968. Ia digantung di atas pendiangan di pangsapuri mewahnya di New York selama bertahun-tahun.
Pembeli lukisan pada lelongan Rabu tidak dinyatakan.
Selain hasil karya Picasso, sejumlah 120 karya lain ditawarkan pada lelongan dua hari itu menjelang jualan tradisional musim luruh minggu depan.
Landau yang menerima jumlah insurans yang besar pada akhir tahun 1960-an selepas berlaku kecurian barang kemasnya, mula membeli karya seni.
Selama bertahun-tahun, beliau mengumpul koleksi seni moden penting di dunia, termasuk karya Georgia O’Keeffe, Agnes Martin, Keith Haring, Robert Rauschenberg, Cy Twombly, dan Robert Mapplethorpe.
Landau pernah membuka sebuah muzium di daerah Queens di New York. Beliau meninggal dunia pada Mac lepas pada usia 102 tahun.