Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah menggagalkan cubaan menyeludup dadah dengan berat 6.13 kilogram bernilai RM1.22 juta yang disembunyikan dalam bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada 9 Jan lepas.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Wong Pun Sian berkata dadah tersebut ditemukan dalam tujuh kotak barangan kosmetik yang mengandungi bongkahan pepejal seperti sabun pelbagai warna dalam bagasi kabin milik seorang penumpang warga Perancis, yang menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil.
Beliau berkata ujian awal yang dibuat ke atas bongkahan tersebut disyaki adalah dadah jenis kokain.
“Modus operanandi sindiket ini adalah dengan menyembunyikan dadah berbentuk sabun dengan pelbagai warna di dalam kotak barangan kosmetik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan dibawa secara ‘hand carry’ oleh penumpang yang telah berusia dan mengembara secara bersendirian ke dalam negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Wong berkata berdasarkan jumlah berat dadah yang diperoleh, rampasan itu berjaya membanteras pengedaran dadah terbabit kepada seramai 30,685 penagih.
– Bernama