Kawalan keselamatan terhadap bangunan kerajaan, kawasan tumpuan awam dan kemudahan penting diletakkan pada tahap tertinggi susulan beberapa insiden yang berlaku baru-baru ini, kata Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Azmi Abu Kasim.
Menurut Azmi pihak polis memandang serius insiden baru-baru ini yang menimbulkan kegusaran masyarakat awam serta memberi jaminan keselamatan awam di negara ini berada pada tahap terbaik dan selamat.
Dia berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain telah mengarahkan semua peringkat kepimpinan PDRM dan petugas di lapangan mengambil langkah komprehensif semasa menjalankan tugas dengan mematuhi pekeliling serta prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Masyarakat diseru agar terus bekerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu keselamatan negara kepada pihak berkuasa, PDRM tidak akan bertolak ansur dengan anasir yang cuba mengancam keselamatan dan menggugat ketenteraman negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azmi berkata tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira status dan latar belakang mereka yang terlibat.
-Bernama