Tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menggunakan istilah “fitnah” untuk mewajarkan tindakan keras kerajaan terhadap kebebasan bersuara mengundang rasa tidak puas hati kumpulan NGO, Lawyers for Liberty (LFL).
Pengarah kumpulan hak asasi manusia itu, Zaid Malek berkata justifikasi berkenaan adalah “tidak jujur, dolak dalik, dan hipokrit” pentadbiran kerajaan Madani., pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Ini adalah tindak balas strawman yang tidak mewakili laporan yang bukannya membela fitnah tetapi mengkritik tindakan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang menggunakan undang-undang menindas seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta undang-undang lmenindas yang lain untuk menyekat kebebasan bersuara.
“Ini adalah undang-undang sama yang dijanjikan oleh PH dalam manifesto politiknya untuk dimansuhkan – janji yang dilupakan sekarang apabila mereka berkuasa,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengulas kenyataan Fahmi semalam yang kononnya Malaysia bersedia mendengar pandangan daripada Amnesty International susulan kritikan mengenai kegagalan kerajaan menambah baik undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara.
Ketika berkata demikian, Fahmi bagaimanapun menegaskan terdapat perbezaan antara kebebasan bersuara dan fitnah.
“Walau kita menerima pandangan daripada Amnesty International, dalam masa sama ada perbezaan yang cukup jelas di antara kebebasan bersuara (dan fitnah).
“Itu tidak bererti (ada) kebebasan memfitnah dan fitnah merosakkan masyarakat dan negara kita,” kata Fahmi pada sidang media, di Putrajaya, semalam.