Petugas Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Perak mengalami detik cemas apabila berlaku kebocoran gas ammonia dari salah satu tabung silinder di jabatan itu pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, menyatakan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 10.32 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh serta Pasir Puteh digerakkan ke lokasi kejadian.
Beliau mengatakan pegawai dan anggota terlibat termasuk lapan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh turut dikerah ke lokasi itu bagi mengawal kebocoran.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati terdapat kebocoran kecil pada tabung silinder ammonia di bahagian penutup injap tangki silinder WC 133 Liter.
“Pemeriksaan juga mendapati berlaku pelepasan gas ammonia pada pengatur yang patah di tabung silinder dan pemeriksaan lanjut dilakukan pada pengatur terbabit bagi memastikan tiada kebocoran lain berlaku,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi juga berkata proses pengungsian bangunan dilakukan manakala pasukan HAZMAT melakukan pemeriksaan bagi mengesan kandungan gas kimia dalam udara dan mendapati keadaan adalah terkawal serta bacaan ammonia menunjukkan 0 partikel per sejuta.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada 12.35 tengah hari dan tidak melibatkan mangsa.
– Bernama