PRK KKB | Calon pembangkang – yang diwakili pemimpin Bersatu Hulu Selangor, sudah memasuki pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu.
Sebelum itu Khairul Azhari Saut yang memakai baju Melayu biru tua bergerak bersama Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin kanan Bersatu sepert Ahmad Faizal Azumu, Hamzah Zainudin, dan Azmin Ali.
Mereka disertai kira-kira 500 penyokong.
Calon PH – yang diwakili DAP – dijangka akan menyusul tidak lama lagi.
Terdahulu calon terbabit, Pang Sock Tao, tiba di kawasan berhampiran kira-kira jam 8.15 pagi dan meluangkan masa bersarapan dengan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming, serta pemimpin lain.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, setiausaha agung parti itu Asyraf Wajdi Dusuki, dan Pengerusi Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin.
Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi dan akan berlangsung selama satu jam.
Sementara itu pelbagai aksi dapat dilihat dipamerkan kedua-dua penyokong.
Misalnya ada sekumpulan orang PN membawa ubi kayu sebagai sindiran kepada isu cadangan memakan bahan tersebut dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, baru-baru ini.
Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata misi PN kali ini ialah “menyapu bersih” kerusi yang ada di bawah kawasan parlimen Hulu Selangor.
“Ahli-ahli PAS di Kuala Kubu Bharu akan sokong penuh calon PN di PRK ini.
“Kami telah menang di Parlimen Hulu Selangor, menang DUN Batang Kali dan Ulu Bernam.
“PAS harap PN dapat menawah Kuala Kubu Bharu untuk menjadikan kami menguasai Hulu selangor 4-0,” katanya kepada Malaysiakini.
[Laporan lanjut menyusul]