Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Monday, December 23, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesKekang ekstremisme, k'jaan tak perlu popular sepanjang masa - AMK

    Kekang ekstremisme, k’jaan tak perlu popular sepanjang masa – AMK

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Kerajaan digesa lebih tegas mengekang ekstremisme atau perlakuan melampau dalam masyarakat khususnya penyokong parti politik.

    Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata penyokong politik berulang kali melemparkan ugutan dan cacian terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim seolah-olah perbuatan itu ‘direstui’ pemimpin mereka.

    Kamil memetik beberapa kejadian baru-baru ini seperti seorang pengguna Tik Tok yang didakwa mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Anwar.

    Selain itu, katanya akhbar rasmi sebuah parti yang mengaitkan Anwar sebagai ‘Pro Israel’ sebelum ini merupakan satu doktrin yang bahaya.

    “Mereka yang melakukan ugutan dan cacian ini tidak gentar dan dibuat berulang kali seolah-olah perbuatan mereka ini diredhai oleh pimpinan.

    “Bahkan lidah rasmi mereka memainkan propaganda mengaitkan Anwar sebagai pro Israel,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

    Walaupun tidak menyebut nama dipercayai Kamil merujuk kontroversi sebuah artikel yang terbit di Harakah pada 6 Nov lalu.

    Artikel bertajuk ‘Malaysia Di Bawah Anwar Ragu-Ragu Sokong Palestin?’ itu memetik Ketua Dewan Ulamak PAS Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena), yang mendakwa kerajaan telah mengubah nadanya berhubung pejuang kemerdekaan Palestin untuk mengikuti naratif yang ditetapkan oleh Israel dan Barat.

    Harakah juga telah menerbitkan satu set gambar untuk mengiringi artikel itu yang memaparkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan bendera Israel di belakangnya manakala foto Ahmad mempunyai bendera Palestin di sisinya.

    Semakan Malaysiakini mendapati gambar itu kemudiannya telah ditukar dan hanya bendera Israel dan Palestin dipaparkan, tanpa wajah Anwar dan Ahmad.

    Sementara itu, Kamil berkata budaya fanatik dan politik kebencian ini sememangnya telah digunakan sejak dahulu lagi, dipupuk dan disebarkan di kalangan masyarakat.

    “Antara yang selalu diungkap adalah Anwar merupakan agen yahudi, CIA, Amerika, Freemason dan pelbagai lagi gelaran yang tidak berasas, dan yang terakhir digelar sebagai dajal.

    AMK Selangor lapor polis terhadap aktivis Bersatu yang menuduh Anwar sebagai dajal.

    “Istilah ini digunakan untuk mencipta kebencian dan permusuhan, kerana untuk menyerang perdana Menteri dari sudut politik dasarnya adalah sukar,” katanya yang juga setiausaha politik Menteri kewangan.

    ALSO READ:  Russia's Prigozhin suggests future recruitment for Wagner group.

    Semalam, AMK Selangor membuat laporan polis terhadap aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegubard kerana menuduh Anwar sebagai dajal.

    Menurut Kamil lagi, dakwaan ancaman bunuh merupakan tanda paling besar bahawa budaya mengkafirkan sesama Islam (takfiri) dan ekstremisme telah menular di kalangan masyarakat melayu konservatif.

    Katanya konfrontasi, penyebaran fitnah dan kebencian menjadi jalan terbaik serta peluru paling ampuh yang digunakan musuh politik untuk menyerang pentadbiran Anwar.

    “Menyerang PMX dalam apa jua cara dianggap sebagai tuntutan agama.

    “Ini adalah doktrin kebencian yang sangat bahaya, kerana dilihat jalan demokrasi tidak mampu untuk menjatuhkan PMX, maka jalan konfrontasi dan kebencian adalah solusi terbaik bagi mereka,” jelasnya.

    Kamil berkata pihak berkuasa perlu mengambil langkah segera untuk menyekat sebarang perlakuan dan tindakan yang memberi kesan terhadap kestabilan dan keamanan negara.

    “Kita mendukung usaha untuk menjamin kebebasan untuk semua, namun jika kebebasan ini tidak dikawal dan diselia, maka ia akan memberi ancaman terhadap keharmonian negara.

    “Kerajaan tidak perlu jadi popular sepanjang masa, tetapi harus juga mengambil langkah bertanggungjawab untuk mengekang sebarang aktiviti dan tindakan yang memberi kesan serius terhadap kestabilan dan keamanan negara,” katanya lagi.

    Kamil turut mengkritik sikap segelintir pemimpin parti politik yang tidak menegur penyokong-penyokong mereka yang mempamerkan tindakan berlebihan.

    “Setakat ini saya tidak dengar lagi penegasan atau respon keras menegur tindakan tidak bermoral ini daripada pimpinan pembangkang terhadap isu ugutan bunuh, gelaran zionis, cacian dan makian, takfiri dan sebagainya.

    “Kalau kita warganegara Malaysia yang waras, bagaimana kita boleh izinkan seorang ketua negara dicerca dan difitnah merata alam,” soalnya lagi.

    Selanjutnya, Kamil menyeru orang ramai supaya belajar bersikap waras serta mengurus perbezaan ideologi dan pandangan dengan mempamer akhlak yang baik.

    ALSO READ:  K'jaan Perpaduan tawar pelbagai program pembangunan Orang Asli - Zahid

    “Negara ini perlu dibina atas sifat ihsan dan kasih sayang serta nilai-nilai yang luhur, urus perbezaan di kalangan kita dengan cermat dan nilai akhlak yang tinggi.

    “Jangan gunakan agama sebagai alat memecahbelahkan masyarakat,” kata Kamil.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts