Keluarga seorang pelajar Malaysia yang dibunuh oleh seorang lelaki warga Taiwan pada tahun 2022 akan menerima pampasan sebanyak NT$1.8 juta (US$56,502), seperti yang diumumkan oleh Pejabat Pendakwa Daerah Shilin kepada Agensi Berita Pusat (CNA) pada hari Jumaat.
Pelajar universiti yang dikenali sebagai Chai telah bertemu dengan Chen Po-yen melalui Instagram dan kemudian dibunuh hanya seminggu selepas mereka mula berkencan pada tahun lalu.
Permohonan pampasan ini telah diajukan oleh keluarga wanita itu melalui Association for Victims Support yang baru-baru ini menghubungi keluarga mangsa dan memberikan bantuan guaman.
Jumlah pampasan tersebut kemudian ditentukan oleh Pejabat Pendakwa Daerah Shilin berdasarkan Crime Victim Rights Protection Act semasa proses persidangan yang diadakan pada akhir Ogos.
Pada masa kejadian, Chai berusia 24 tahun dan sedang menuntut di sebuah universiti di Taipei.
Mayatnya kemudian ditemui di apartmen yang disewa di Daerah Shilin, Taipei pada 13 Oktober 2022.
Melalui bezah siasat yang dilakukan pada 16 Oktober, ditemui bahawa mangsa meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan dan turut mengalami patah tulang leher.
Kematian pelajar ini terungkap pada 13 Oktober tahun lalu oleh polis New Taipei selepas Chen memberitahu bahawa dia telah membunuh mangsa, semasa dirinya dirawat di hospital selepas cuba bunuh diri.
– Bernama-CNA