Angka kematian akibat gelombang haba di Korea Selatan meningkat kepada 23, lapor Xinhua yang mengutip Agensi Berita Yonhap yang mengutip kenyataan pihak berkuasa bomba pada Rabu. Dua kematian terbaharu akibat strok haba dilaporkan pada Selasa, menjadikan angka kematian meningkat kepada 23, lebih tiga kali ganda berbanding tujuh kematian yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas. Kebanyakan yang meninggal dunia adalah petani warga emas yang bekerja dalam cuaca panas terik. Gelombang haba paling teruk melanda tenggara wilayah Gyeongsang Utara, dengan angka kematian akibat strok haba mencapai 10 orang. Korea Selatan baru-baru ini bergelut dengan gelombang haba yang teruk apabila suhu tertinggi siang hari kekal sekitar 35 darjah Celsius di kebanyakan tempat di negara itu. – Bernama