Kerajaan menolak cadangan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berhubung cadangan larangan penjualan beras putih tempatan kepada warga asing yang bekerja di negara ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata kerajaan tidak membuat sebarang keputusan berhubung cadangan itu.
“Tidak dibuat keputusan lagi, sebab warga asing pun perlu makan.
“Jangan lupa mereka pun berkhidmat untuk keperluan negara kita,” katanya ketika sesi penggulungan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN- Machang) membangkitkan mengenai cadangan seorang exco Melaka yang menyarankan larangan pejualan beras putih tempatan kepada warga asing.
Wan Ahmad Fayhsal bertanya apakah kementerian berkenaan sudah membuat keputusan berhubung cadangan berkenaan.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mempertahankan cadangannya untuk mengehadkan penjualan beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia berikutan kenaikan harga yang didorong oleh kekurangan bekalan di pasaran.
Akmal menjelaskan bahawa isu ini bukan soal diskriminasi, dengan menyatakan keutamaan harus diberikan kepada rakyat Malaysia.
“Betul pekerja asing pun bukan kaya raya, tetapi berbanding dengan komitmen mereka dengan rakyat Malaysia jauh berbeza,” kata Akmal dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, Mohamad yakin masalah bekalan beras yang melanda negara ketika ini akan dapat diatasi dengan baik.
“Isu beras ini ia berlaku paling hebat pada 2008 dan 2014, kedua-dua masa itu dapat diatasi dengan baik.
“Kali ini saya yakin dapat diatasi dengan baik,” katanya.
Jelasnya isu beras ketika ini berlaku akibat pembelian panik kerana peningkatan harga beras import secara mendadak.