Empat individu yang gagal mendapat kerakyatan selepas tiga kali memohon kini menggantungkan harapan kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, untuk membantu menyelesaikan kemelut berkenaan.
Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) mendakwa sebelum ini adik-beradik itu mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) namun ditolak.
Presiden DHRRA Malaysia, M Saravanan, mendakwa JPN menolak permohonan kewarganegaraan itu mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan (keadaan khas) dan tiada alasan munasabah diberikan.
Saravanan juga mendakwa JPN enggan melayan rayuan empat beradik itu yang dibuat mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan (kewarganegaraan secara naturalisasi).
“Walaupun mereka dilahirkan di negara ini daripada seorang bapa warganegara Malaysia, tiada alasan diberikan untuk penolakan tersebut.
“Permohonan pertama dibuat mereka pada 2009, diikuti kali kedua pada 2012 dan 2014, ketiga-tiganya ditolak.
“Lebih mengecewakan permohonan pada 2014 itu hanya diketahui ditolak pada 2021 iaitu melibatkan tempoh tujuh tahun,” katanya kepada Malaysiakini.
Isteri hilang selepas melahirkan
Tambah Saravanan, kini empat beradik itu sudah berusia lebih 21 tahun, justeru tidak lagi layak untuk membuat permohonan mengikut Perkara 15A.
“Hanya ada satu sahaja cara lagi untuk membuat permohonan iaitu melalaui Perkara 19 (keadaan khas) tapi JPN enggan memberikan borang permohonan,” tambahnya.
Saravanan berkata demikian dengan merujuk isu yang dihadapi pasangan kembar N Thachaayaney dan Thanasriy, 26; serta adik mereka Vetyasri, 24; dan Sugashini, 22; dari Perak.
Menurut dokumen permohonan yang dilihat Malaysia, bapa empat beradik itu – Naduncelean Krishnan – merupakan warga Malaysia yang berkahwin dengan wanita Singapura pada 1997.
Bagaimanapun perkahwinan mereka hanya dibuat secara adat dan tidak didaftarkan kerana ketika itu wanita terbabit masih di bawah umur.
Keempat-empat anak Naduncelean menerima sijil kelahiran Malaysia dan pada dokumen itu tidak diyatakan taraf kewarganegaraan mereka kecuali untuk Sugashini.
Sementara itu Naduncelean berkata dia terkejut apabila mengetahui – pada 2009 – semua anaknya tiba-tiba menjadi bukan warganegara Malaysia.
Menurutnya status itu diketahuinya semasa mereka mahu memohon kad pengenalan buat pasangan kembar terbabit di JPN.
Katanya keadaan menjadi lebih sulit apabila ibu adik-beradik itu menghilangkan diri sebaik saja selepas melahirkan Sugashini.
“Segala usaha dan percubaan saya untuk menjejak isteri saya menemui jalan buntu, dan saya telahpun membuat laporan polis berkenaan hal tersebut.
“Saya tidak memiliki sebarang maklumat berkenaan isteri saya, justeru saya tak dapat membuktikan data mengenai negara asal dia.
“Kini hanya Malaysia merupakan negara kelahiran anak-anak saya, satu-satunya tempat yang mempunyai kaitan dengan mereka,” katanya.
Menurut Naduncelean dia menjalani ujian DNA bersama anak-anaknya pada 15 Sept 2015 dan terbukti mereka merupakan pasangan bapa dan anak kandung.
Pun begitu, katanya, JPN tetap menolak permohonan mereka pada 2021.
Mengulas lanjut, Saravanan mendakwa, tanpa status kewarganegaraan Naduncelean dan anak-anaknya menghadapi pelbagai kesukaran termasuk untuk mendapatkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan pekerjaan secara sah.
“Mereka juga tidak dapat berkahwin dan memulakan keluarga sendiri.
“Lebih membimbangkan, keluarga terbabit berisiko mewariskan taraf tanpa kewarganegaraan kepada anak masing-masing dan ini pasti akan menjejaskan masa depan mereka.
“Kami berharap Menteri membantu empat beradik ini,” katanya.