Seorang saksi dalam kes guru yang didakwa ponteng sekolah selama tujuh bulan mengaku terkejut dengan maklum balas guru besar SMK Taun Gusi, Kota Belud di Sabah terhadap aduannya berkenaan ketidakhadiran guru tersebut.
Cikgu Ibrahim Jadoon memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bahawa guru besar pada ketika itu, Suid Hanap, seolah-olah meremahkan potensi murid-murid sekolah berkenaan.
“Saya sampai kelas petang, Suid bagitahu saya, jangan tinggal lama sangatlah, mereka murid kampung, potensi mereka tak tinggi,” jelas Ibrahim ketika menjawab soalan daripada peguam plaintif.
Prosiding terpaksa ditangguhkan seketika selepas Ibrahim gagal menahan emosi dan menangis mengenang kata-kata guru besar SMK Taun Gusi itu ketika dia melaporkan isu berhubung guru Jainal Jamran yang ponteng.
Dia juga memberitahu mahkamah yang bersidang hari ini bahawa Suid menyalahkan pihak guru kaunseling dan lembaga disiplin sekolah kerana menurutnya “gagal” menangani masalah guru ponteng.
Terdahulu ketika disoal peguam plaintif, Shireen Sikayun berkenaan sikap Jainal, dia berkata guru terbabit tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap pelajarnya malah sering ponteng mengajar tanpa rasa kesal.
Tambahnya, Jainal juga terkenal dengan sikap barannya dan sering memalukan pelajarnya kerana tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.
Ibrahim turut berkata bahawa dia pernah bersemuka dengan Jainal dan bertanya mengapa dia tidak mengajar kelas yang telah ditetapkan dan Jainal mendakwa bahawa dia tidak suka dengan sesetengah pelajar terbabit.
Ibrahim akui telah melaporkan masalah guru ponteng kepada seorang pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Redzuan Ahmad dan antara tindakan yang diambil adalah satu lawatan daripada KPM ke SMK Taun Gusi.
Kes saman guru ponteng oleh Siti Nafirah Siman diwakili oleh peguamnya Shireen manakala guru yang disaman itu diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Jesseca Daimis.
Perbicaraan kes guru ponteng di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berlangsung di hadapan Hakim Ismail Brahim bersambung esok.