Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berjaya dalam permohonannya untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa sebanyak RM232.5 juta bagi parti itu yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Hakim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas bekas perdana Menteri itu adalah cacat, tidak berasas, dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau menyatakan bahawa pertuduhan tersebut juga tidak memberikan butir-butir yang mencukupi mengenai kesalahan yang didakwa mengikut Akta SPRM 2009. Dengan itu, tertuduh tidak dapat menyediakan arahan selanjutnya kepada peguam yang mewakilinya.
Mahkamah berpendapat bahawa jika perbicaraan diteruskan, ia akan menyebabkan Muhyiddin tidak dapat menyediakan pembelaan yang sewajarnya dan akan menjadikan pendakwaan ke atasnya sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Setelah itu, Mahkamah Tinggi memerintahkan agar Muhyiddin dilepaskan dan dibebaskan daripada empat pertuduhan salah guna kuasa tersebut, yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Muhyiddin, 75, telah memfailkan notis usul untuk membatalkan tuduhan tersebut pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.
Beliau memohon supaya dilepaskan dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu, dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.
Berita penuh akan disusul dengan maklumat lanjut.