Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Friday, September 20, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesKeterangan Zeti buktikan saya betul pecat Apandi - Dr M

    Keterangan Zeti buktikan saya betul pecat Apandi – Dr M

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur
    Bekas perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa keterangan bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Aziz adalah bukti bekas peguam negara, Apandi Ali mengabaikan tugasnya.

    Dalam hantaran di media sosial, Mahathir turut mempersoalkan mengapa kerajaan ketika pimpinan bekas perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menyelesaikan saman pemecatan Apandi di luar mahkamah.

    “Saya tersentak apabila membaca laporan berita bahawa, semasa perbicaraan melibatkan 1MDB, Zeti menyatakan dia telah melaporkan kepada Peguam Negara ketika itu iaitu Apandi kesalahan pegawai 1MDB.

    “Tetapi Peguam Negara tidak mengambil apa-apa tindakan. Ini seolah-olah bagi saya pengabaian tugas. Namun Apandi telah menyaman saya kerana pemecatan secara salah. Saya bersedia untuk ke mahkamah bagi menjelaskan mengapa saya perlu membuangnya,” kata Mahathir.

    Mahathir memecat Apandi sejurus selepas PH membentuk kerajaan pada Mei 2018 dan menggantikannya dengan Tommy Thomas.

    Pada 13 Okt 2020, Apandi memfailkan saman RM2.2 juta terhadap Mahathir dan kerajaan atas dakwaan dia dipecat secara tidak sah.

    Melalui tuntutan mahkamah itu, Apandi memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa Dr Mahathir telah menyalahgunakan kedudukannya dan ini telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara dia dan kerajaan Malaysia.

    Penyelesaian saman itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Akhtar Tahir, pada 13 April 2022.

    Dalam keterangannya ketika perbicaraan pada 27 Julai lalu , Zeti mengesahkan bahawa pada 13 Ogos 2015, BNM menyerahkan kertas siasatan (IP) kepada AGC dengan syor untuk memulakan pendakwaan jenayah dan mendakwa 1MDB termasuk pegawai kanannya.

    Zeti berkata 1MDB dan pegawainya didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) kerana memberikan maklumat palsu kepada BNM dalam permohonannya bagi kebenaran membuat pembayaran di luar negara.

    ALSO READ:  ‘Tuduhan DAP berniat jahat, Melayu tidak pernah bersikap radikal'

    “Di sebalik semua bukti yang dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam IP (mengenai 1MDB) yang dikemukakan, AGC ketika itu, atas sebab yang tidak diketahui, pada 11 Sept 2015 memutuskan bahawa IP yang dikemukakan oleh BNM diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA),” kata Zeti.

    Dalam kenyataannya hari ini Mahathir terus mengkritik cara Apandi mengendalikan tuduhan rasuah terhadap bekas perdana Menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

    “Satu lagi contoh keputusan salah Apandi ialah menolak semua kes terhadap Najib. Namun apabila seorang lagi Peguam Negara (Thomas) membawa kes Najib ke mahkamah, tiga mahkamah dan sembilan hakim mendapati Najib bersalah.

    “Jelas sekali Apandi sebagai AG tidak meneliti kes itu secara menyeluruh sebelum mengisytiharkan Najib tiada kes untuk dijawab.

    “Ini sekali lagi menunjukkan pengabaian tugas di pihak Apandi. Namun apabila dia menyaman Kerajaan dan saya kerana pemecatan secara salah, kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah dan memberikan Apandi sejumlah wang yang tidak diketahui untuk menggugurkan tindakannya menyaman kerajaan dan saya,” kata Mahathir.

    “Ini bermakna kerajaan bersetuju bahawa beliau telah dipecat secara salah. Saya bukan pihak dalam penyelesaian itu. Saya tidak bersetuju bahawa saya telah memecat Apandi secara salah.

    “Kini laporan bahawa beliau gagal mengambil tindakan terhadap laporan oleh Bank Negara, membuktikan beliau tidak menjalankan tugasnya sebagai AG. Ini mewajarkan lagi pemecatannya sebagai AG.

    “Bahawa AG seperti itu diberi pampasan dengan jumlah wang yang tidak diketahui tidak menggambarkan dengan baik kedaulatan undang-undang di negara ini,” ujar Mahathir.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,249FansLike
    1,158FollowersFollow
    1,051FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts