Pengumuman Calon Ketua Pengarah (KP) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) akan dibuat tidak lama lagi setelah beberapa proses dokumentasi dilakukan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau menyatakan bahawa nama calon tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet dan pada masa yang sama, kementerian sedang merombak struktur J-Kom.
“Yang lebih penting daripada pelantikan KP J-Kom seperti yang saya telah sebut sebelum ini adalah kita sedang dalam proses merombak struktur itu jadi saya rasa itu yang menjadi keutamaan kepada Kementerian (Komunikasi).
“Saya lihat jabatan ini perlu disuaimanfaatkan, diselaraskan semula beberapa tindakan gerakan kerja,” beliau berkata pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Apabila ditanya adakah proses pelantikan KP yang baharu itu melibatkan rombakan pegawai yang lain beliau hanya menjawab : “Ia akan melibatkan perubahan”.
“Proses rombakan ini melibatkan Jabatan Perkhidmatan Awam, maka kita kena lalui proses itu.
“Saya menjangkakan proses dalam J-Kom ini akan mengambil sedikit masa,” katanya.
Penamaan KP J-Kom yang bakal diumumkan tidak lama lagi akan menggantikan Datuk Mohammad Agus Yusoff yang meletakkan jawatan pada 15 Disember yang lalu.
Mohammad Agus dilantik sebagai KP J-Kom pada Februari 2023.
Mengulas mengenai pengganti jawatan Speaker Dewan Negara, Fahmi berkata pengumuman nama calon tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum persidangan Dewan Negara akan datang.
“Nama telah dicadangkan dan diserahkan kepada PM untuk diumumkan,” katanya.
– Bernama