Dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin memuji jawapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung isu LGBT dalam wawancara CNN. Menurut Khairy, seorang perdana Menteri Malaysia hanya mempunyai dua cara untuk menjawab soalan berkaitan komuniti LGBT. “Satu, anda boleh menjawabnya ‘cara Mahathir’ dengan berkata, ‘Tolak gay. Tak boleh terima LGBT. Fullstop. Dan buat muka bodoh. Tetapi Anwar bukan begituā¦ Dia cuba mengatakan majoriti (rakyat) tak boleh terima (LGBT), tapi kita tak boleh ganggu (golongan itu),” tambahnya.
Walaupun menyifatkan jawapan perdana Menteri sebagai “perfectly decent” (sangat baik), Khairy berkata, Anwar tidak memenangi mana-mana pihak dengan jawapan itu. “Dia tidak memenangi pihak sayap kanan, yang merupakan sebahagian besar masyarakat Melayu… dia juga tidak memenangi penonton antarabangsa (yang menyokong hak LGBT),” tambahnya. Namun, Khairy memuji keberanian Anwar menerima wawancara “panas” yang menurutnya bukan semua perdana Menteri akan terima.
Menggambarkan Anwar sebagai pemimpin “pragmatik” yang “sentiasa bergerak dalam spektrum politik”, Khairy berkata jawapan itu merupakan cara Anwar sejak sekian lama. Khairy juga menolak tanggapan yang menyifatkan Anwar sebagai “centrist” (pertengahan). “Itulah PMX (Anwar) dari awal. Sejak hari-hari awal kerjayanya, dia telah menjadi seseorang yang bergerak dalam spektrum,” tambahnya, dengan isyarat tangan menunjukkan peralihan.
Bagaimanapun, Khairy enggan menjenamakan Anwar sebagai “lalang”. “Saya tidak suka perkataan ‘lalang’. Kerana pada penghujung hari, anda boleh mengubah fikiran anda. Tidak bermakna kerana anda berubah fikiran, anda tiba-tiba menjadi lalang. “Lihatlah apa yang berlaku hari ini. Bagi DNAA (pelepasan tanpa pembebasan), ia adalah detik lalang terbesar dalam sejarah Malaysia,” tambahnya, merujuk kepada keputusan mahkamah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah.
Sambil menyatakan bahawa Anwar sentiasa “fleksibel”, dia berkata: “Anda boleh mengatakan ia negatif atau memanggilnya politik sesumpah. Atau anda boleh memanggilnya politik pragmatik.” Khairy juga merujuk kepada “nasionalis Melayu” Dr Mahathir Mohamad untuk menggambarkan bahawa menukar tiang gol adalah perkara biasa dalam politik. “Bila dia (Mahathir) memerlukan sokongan bukan Melayu, dia tampil dengan Wawasan 2020 dan Bangsa Malaysia. Dia juga bergerak mengikut spektrum. Apabila dia nampak kebangkitan politik Islam, dia pergi ke arah lain. Jadi ini semua tentang fleksibiliti.”