Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan langkah menyediakan kawasan merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan bahawa premis di kawasan sempit agak sukar untuk mematuhi jarak tiga meter untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
“Kementerian Kesihatan mengambil pertimbangan hal ini, kita sedia maklum kalau tiga meter jarak (merokok) dari premis makanan, sudah hampir dengan premis lain.
“Kami pasti akan mempertimbangkan keperluan mengadakan tempat tertentu seperti negara maju lain iaitu Singapura, Jepun dan Hong Kong di mana mereka punya tempat yang diizinkan untuk merokok,” katanya kepada pemberita pada Sesi Perjumpaan Meja Bulat sempena Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu bukanlah satu langkah mengundur ke belakang sebaliknya bagi memastikan larangan merokok pada jarak tiga meter dari premis makanan dipatuhi.
“Kami akan ambil pertimbangan yang serius supaya kawasan sempit seperti di Jalan Alor, Bukit Bintang ada tempat khas untuk perokok,” katanya.
Dr Dzulkefly juga berkata Jalan Alor akan dijadikan sebagai model perananan bagi Kuala Lumpur Street Food yang mematuhi tahap kebersihan serta larangan merokok di premis makanan dan kawasan penjaja.
Beliau berkata justeru itu, program tinjauan mesra yang buat julung kalinya diadakan telah memilih Jalan Alor, yang merupakan pusat tarikan pelancong, dalam usaha memberi kefahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terhadap usaha ini.
“Malam ini kita ambil langkah dekati pemilik untuk memastikan agenda kempen premis BeBAs dapat dijayakan.
“Sepanjang tinjauan mesra tadi juga, tiga premis telah mendapat pengiktirafan premis ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS)… program ini sudah pasti akan diperluas ke tempat lain seperti Putrajaya, Ipoh dan Pulau Pinang berlandaskan apa yang ada di Jalan Alor,” katanya.
– Bernama