Kod Etika Wartawan Malaysia yang baru dilancarkan bertujuan untuk memperkuatkan perananan wartawan dalam menyampaikan berita dan maklumat, menurut Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Teo menegaskan bahawa kod etika itu tidak memberikan konotasi negatif kepada bidang kewartawanan, kerana ia sudah wujud sejak tahun 1989 dan kini diperbaharui agar relevan dengan perubahan semasa.
Beliau juga menyatakan bahawa kod etika tersebut merupakan dokumen rasmi yang menjadi rujukan untuk mengeluarkan atau membatalkan kad perakuan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).
“Kod etika ini sudah lama wujud dan dakwaan bahawa ia memberi konotasi negatif adalah tidak tepat.
“Setiap wartawan yang memegang kad perakuan media JaPen diharapkan mematuhi kod etika ini, sebagai panduan untuk JaPen jika berlaku kesalahan dalam kalangan wartawan,” katanya kepada Bernama.
Sebelum ini, Teo telah menghadiri Bernama Radio untuk rakaman program sempena Hari Wanita Sedunia.
Pada 20 Februari yang lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia yang baru, yang mengandungi lapan prinsip utama termasuk tanggungjawab wartawan sebagai suara masyarakat majmuk, kejujuran, integriti, dan keadilan dalam menyampaikan maklumat.
Antara prinsip lain adalah wartawan tidak dipengaruhi oleh kepentingan peribadi, memastikan kebolehpercayaan dan ketepatan maklumat, serta menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.
Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta, dan polisi yang berkaitan dengan tugas mereka, serta memberi keutamaan kepada peningkatan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
– Bernama