Suara Malaysia
ADVERTISEMENTShopee SaleShopee Sale
Monday, July 8, 2024
More
    ADVERTISEMENTShopee Sale
    HomeNewsHeadlinesKOMENTAR | Anwar dan politik Machiavelli

    KOMENTAR | Anwar dan politik Machiavelli

    -

    Shopee CNY Sale

    Dalam karya terkenal The Prince, Niccolo Machiavelli, seorang negarawan, penulis politik, dan pionir gerakan pembaharuan di Itali pada abad ke-15, telah menyediakan panduan kepada pemerintah (Raja) untuk menyelamatkan kekuasaannya dari kekacauan dalam Negeri dan serangan dari luar. Menurut Machiavelli, bagi menjamin keamanan dan ketenteraman, pemerintah perlu bertindak seperti singa dan kancil, iaitu menggunakan paksaan atau kekerasan dan tipu helah untuk mendapatkan dan mengekalkan kuasa, sementara mengabaikan pertimbangan etika dan moral. Hal ini bermaksud, pemerintah perlu menggunakan kebijaksanaan dan keupayaan (virtu) dan bertindak mengikut perlaksanaan (necessita) serta tidak boleh bergantung harap kepada nasib baik (fortuna) semata-mata.

    Dalam konteks politik Malaysia, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh, telah memanfaatkan unsur virtu dengan baik bagi mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasa. Dalam usaha untuk mendapatkan kuasa, peranancangan politik di belakang tabir seolah-olah telah dibuat di antara Anwar dengan Presiden Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Hal ini membawa kepada pemberian sokongan kepimpinan tertinggi Umno kepada Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan ekoran situasi parlimen tergantung selepas PRU15. Meskipun Umno kemudian memilih untuk tidak bersama dengan PH mahupun Perikatan Nasional (PN), fortuna bersama dengan Anwar apabila Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya kerajaan perpaduan dibentuk dengan PH yang mempunyai bilangan kerusi terbesar menjadi terasnya. Susulan sokongan yang diberikan oleh Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada PH, Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof masing-masing sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II.

    Meskipun Zahid sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah pada ketika itu, keutamaan Anwar adalah untuk mendapatkan kuasa sementara persoalan etika dan moral tidak menjadi tumpuan. Dalam hal ini, Anwar belajar daripada kesilapan politik kerajaan sebelumnya. Ketiadaan Zahid dalam barisan kabinet Muhyiddin Yassin telah membawa kepada tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional susulan penarikan diri sekumpulan ahli parlimen Umno yang diketuai oleh Zahid daripada kerajaan. Gesaan daripada kumpulan yang sama juga telah membawa kepada pembubaran kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

    ALSO READ:  Saarani nafi kata ada perubahan besar di N Sembilan jika MB bukan dari BN

    Dalam usaha untuk mempertahankan dan memperkukuhkan kuasa, beberapa strategi telah dilaksanakan oleh Anwar. Antaranya, PH telah menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN, GPS, GRS dan Warisan. Perjanjian ini bertujuan untuk membentuk satu kerajaan yang stabil dan membolehkan mereka menghadapi pelbagai cabaran dengan satu suara. Sebagai timbal balas dan usaha memperkukuhkan sokongan dari parti-parti dari wilayah Borneo, Anwar telah mengumumkan peruntukan yang tinggi kepada Sabah dan Sarawak dalam belanjawan 2024, menyerahkan kuasa meluluskan projek-projek bernilai bawah RM50 juta kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak selain komited menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai Perjanjian Malaysia 1963.

    Usaha untuk memperkukuhkan kuasanya sebagai Perdana Menteri juga dibuat apabila beliau memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan. Kedudukannya sebagai Menteri Kewangan ini bukan hanya membolehkan beliau menggubal dan melaksanakan dasar fiskal tetapi juga menguruskan pengagihan sumber kewangan dengan cekap dan berkesan. Objektif yang kedua ini turut memberikan Anwar kuasa untuk menyemak, membatalkan dan melaksanakan tender semula bagi projek tebatan banjir bernilai RM15 billion dan Jana Wibawa bernilai RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus.

    Berdasarkan hasil siasatan SPRM ke atas projek Jana Wibawa, beberapa pemimpin pembangkang iaitu Presiden Parti Bersatu Muhyiddin Yassin, mantan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad telah didakwa di mahkamah atas pertuduhan antaranya menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah, pengubahan wang haram serta meminta dan menerima rasuah. Beberapa akaun milik Parti Bersatu turut dibekukan. Perlu difahami bahawa siasatan dan pendakwaan ini, sama ada bersifat politik atau tidak, dibuat dalam konteks beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) yang membabitkan enam Negeri. Hal ini menunjukkan bahawa Anwar memanfaatkan kuasa dan sumber-sumber yang ada untuk memberikan tekanan kepada pihak pembangkang meskipun impaknya ke atas PRN terbatas.

    ALSO READ:  Tragedi heli: Mangsa diberi penghormatan terakhir ikut istiadat TLDM

    Strategi pengukuhan kuasa oleh Anwar tidak hanya terbatas kepada agihan belanjawan dan gesaan siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap pihak pembangkang tetapi turut melibatkan kawalan terhadap peruntukan kawasan kepada pihak pembangkang. Sehingga kini, peruntukan kawasan kepada pihak pembangkang masih belum diagihkan selagi pihak pembangkang tidak datang dan berunding dengan kerajaan. Tekanan kewangan dan tuntutan pembangunan di kawasan ini menyebabkan beberapa ahli parlimen pembangkang dari Parti Bersatu iaitu ahli parlimen Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli telah menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Anwar.

    Sebaik sahaja sokongan kepada Perdana Menteri diumumkan, peruntukan kawasan kepada ahli-ahli parlimen ini disalurkan dengan kadar segera. Peralihan sokongan ini memberikan pihak kerajaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sekali gus memperkukuhkan kuasa legislatif kerajaan. Situasi ini menunjukkan bahawa Anwar bukan hanya bijak menggunakan sumber bagi memancing sokongan pihak pembangkang bahkan mengenepikan pertimbangan etika dan moral dengan mengeksploitasi Akta Antilompat Parti.

    Kuasa Anwar juga diperkukuhkan apabila Peguam Negara membuat keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi. Keputusan ini bermaksud Zahid dapat terus kekal memimpin Umno dan seterusnya memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Anwar. Justeru, keputusan DNAA boleh dianggap sebagai satu tipu helah dan kompromi yang perlu dibuat oleh Anwar untuk kekal berkuasa.

    Perbincangan di atas menunjukkan bahawa Anwar mempunyai virtu iaitu kebijaksanaan dan keupayaan untuk memanfaatkan sumber-sumber yang ada untuk mendapatkan dan mempertahankan kuasa. Meskipun penggunaan kekerasan tidak dimanfaatkan oleh Anwar, ciri-ciri machiavellian iaitu paksaan dan tipu helah telah digunakan pada tahap-tahap tertentu sementara pertimbangan etika dan moral juga telah dikesampingkan pada tahap-tahap tertentu bagi mempertahankan dan memperkukuhkan kedudukannya. Sebagai pemimpin politik veteran, Anwar tidak hanya mahir untuk menjadi singa bahkan mampu bertindak seperti kancil sekiranya keadaan memerlukan. Namun, perlu diakui bahawa praktik Machiavelli ini membawa kos tertentu antaranya membantutkan usaha reformasi institusi, menjejaskan kepentingan rakyat serta meningkatkan polarisari kaum dan agama. Walau bagaimanapun, praktik Machiavelli ini berjaya merealisasikan matlamat unggul Anwar iaitu mendapatkan kuasa dan mempertahankan kuasanya.

    ALSO READ:  Soccer-Czechs thump Malta 7-1 in Euro 2024 warm-up

    DR ZAHARUL ABDULLAH ialah Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM)
    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,437FansLike
    1,181FollowersFollow
    1,049FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTAuto AffiliateAuto Affiliate

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts