Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 telah bermula hari ini dengan penumpuan kepada ucapan perasmian serentak Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita oleh Timbalan Presiden Rafizi Ramli.
Kongres ini bertemakan “Memaknai Reformasi, Menjulang MADANI” dan akan berlangsung selama dua hari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada kongres AMK dan Wanita, perwakilan kedua-dua sayap akan menonton montaj mengenai 25 tahun Reformasi Keadilan dan setahun perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Selepas perasmian, kedua-dua sayap akan memulakan kongres masing-masing dengan ucapan dasar Ketua AMK Adam Adli Abd Halim dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek, diikuti dengan sesi perbahasan oleh ketua sayap.
Seterusnya, akan diadakan sesi penggulungan oleh setiausaha, naib ketua, timbalan ketua, dan ketua sayap masing-masing.
Pada 8.30 malam, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan dasar untuk merasmikan Kongres Nasional peringkat pusat parti itu.
Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Kongres Nasional akan dihadiri oleh 2,374 perwakilan dan 1,500 pemerhati, termasuk juga pimpinan utama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dan 50 perwakilan kedutaan asing.
Beliau menyatakan isu kemakmuran ekonomi, kebajikan, keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik, dan kestabilan politik akan menjadi tumpuan utama dalam perbahasan kongres.
Menteri Dalam Negeri juga menyatakan bahawa PKR akan menegaskan mesej dan pendirian terhadap isu kemanusiaan yang berlaku sejak kemelut di Palestin dan Israel serta mengadakan slot khas bagi memperingati mangsa kekejaman rejim Zionis tersebut.
-Bernama
Artikel ini disediakan oleh penulis bebas.