Kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat yang terhempas di Lebuh Raya Guthrie Bandar Elmina, Shah Alam, pada Khamis lalu akan dihantar ke pengilangnya di Florida, Amerika Syarikat untuk mendapatkan semula data rakaman suara 30 minit terakhir sebelum nahas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengatakan CVR itu telah dihantar ke sebuah makmal di Singapura pada Sabtu lalu tetapi mereka menghadapi beberapa isu teknikal dan kekangan yang menghalang pengambilan semula rakaman suara.
“Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan kembali ke Kuala Lumpur pada petang ini dan dia akan memberikan penjelasan kepada saya… kita akan cuba secepat mungkin, sama ada petang ini atau esok pagi, saya akan hantar mereka ke sana (Amerika Syarikat).
“Untuk menjawab persoalan apa yang berlaku, kita terpaksa mendapatkan bantuan dari pihak luar. Keutamaan saya adalah untuk memberikan jawapan kepada keluarga mangsa dan orang ramai secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Seminar Keselamatan Penerbangan Malaysia 2023 di Kuala Lumpur hari ini.