Ketua Pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar menegaskan bahawa perkhidmatannya akan ditamatkan bermula Isnin depan. Beliau merasakan kecewa dan sedih selepas menerima surat penamatan perkhidmatannya daripada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing. “Surat itu hanya menyatakan berkuat kuasa 26 Februari, saya bukan lagi KP (Ketua Pengarah). Dipindah ke mana, pegang jawatan apa, gred apa, Ia tidak nyatakan apa-apa lagi,” katanya.
Mengikut laporan portal Malay Mail, Ammar juga menyatakan bahawa walaupun beliau tidak berniat untuk memingkari sebarang arahan, beliau merasakan bahawa selepas berkhidmat selama 36 tahun, beliau tidak sepatutnya diperlakukan dengan cara sedemikian. Surat penamatan tersebut turut telah tersebar di media sosial sejak semalam.
Tindakan ini turut menimbulkan reaksi daripada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin yang mendesak kerajaan untuk menyiasat Menteri Pelancongan Tiong King Sing atas dakwaan salah guna kuasa. Menurutnya, siasatan tersebut penting untuk menegakkan ketelusan dan tata kelola yang baik. “Dakwaan melibatkan tindakan dan tingkah lakunya tidak mencerminkan integriti serta standard etika yang diharapkan daripada seorang Menteri,” katanya lagi.
Portal Utusan Malaysia juga memetiknya berkata bahawa tuduhan melibatkan nepotisme dan kronisme dalam pelantikan rakan-rakan dan ahli keluarga ke jawatan penting dalam pejabat pelancongan. Demikian turut menimbulkan persoalan serius tentang motif di sebalik tindakan tersebut. Sementara itu, Malaysiakini sedang cuba untuk mendapatkan komen daripada pejabat Menteri pelancongan.