Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Tuesday, December 24, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesKPI yang dikongsi bersama untuk agensi mandat bumiputera akan diwujud

    KPI yang dikongsi bersama untuk agensi mandat bumiputera akan diwujud

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Petunjuk prestasi utama (KPI) yang dikongsi bersama agensi mandat bumiputera akan diwujudkan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan Agenda Bumiputera yang lebih berkesan, demikian menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

    Menurut dokumen itu, yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi hari ini, perananan dan fungsi Unit Peneraju Agenda Bumiputera juga akan disemak semula sebagai agensi penyelaras utama agenda tersebut yang kekal sebagai agenda nasional bagi mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

    Strategi lain yang bakal dilaksana termasuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan penciptaan kekayaan, memperkasa modal insan, meningkatkan literasi kewangan dan memastikan pemilikan ekuiti korporat yang mampan.

    Ini bagi memastikan sasaran menjelang 2025 di bawah RMK12 dapat dicapai antaranya meningkatkan nisbah pendapatan penengah bulanan isi rumah Bumiputera kepada kaum Cina kepada 0.88:1 berbanding 0.71:1 pada 2022 dan nisbah gaji serta upah penengah bulanan Bumiputera kepada kaum Cina (1:1 berbanding 0.78:1).

    Menjelang tempoh sama, kerajaan turut meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 65 peratus penyertaan Bumiputera dalam kategori pekerjaan mahir, 75 peratus isi rumah Bumiputera memiliki seunit kediaman dan 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dengan penguasaan berkesan.

    Bagi meningkatkan penciptaan kekayaan Bumiputera, kerajaan juga akan mengkaji semula dasar sedia ada mengenai pembatalan dan penggantian Tanah Rizab Melayu, mengoptimum potensi wakaf, menambah baik maklumat hartanah Bumiputera tidak terjual dan memudah cara pemilikan hartanah komersial.

    Bagi mengembangkan perniagaan Bumiputera, usahawan Bumiputera antara lain akan dibantu mematuhi piawaian antarabangsa termasuk pensijilan manakala Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diberi tanggungjawab sebagai penyelaras tunggal program keusahawanan merentas kementerian serta agensi.

    Bagi mempercepat pertumbuhan pemilikan ekuiti yang mampan, syarikat Bumiputera pasaran pertengahan yang berpotensi tinggi akan digalak memanfaatkan Dana Asas berjumlah RM100 juta dengan had pelaburan antara RM10 juta hingga RM30 juta di bawah Ekuiti Nasional Bhd bagi mempercepat pertumbuhan.

    ALSO READ:  Why your pretty new homepage is probably a waste of money 

    “Had maksimum bagi pelaburan ASB dinaikkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera mulai tahun 2023,” menurut dokumen itu.

    Sementara itu, bagi meningkatkan status sosioekonomi isi rumah kaum Cina berpendapatan rendah, akses kepada kemudahan pembiayaan perniagaan di bawah Pembiayaan Kampung Baru Cina akan ditambah baik dengan memudahkan prosedur dan menyediakan skim pinjaman baharu antara RM50,001 hingga RM150,000.

    Kajian juga akan dilaksana bagi menilai keperluan semasa isi rumah kaum Cina berpendapatan rendah di Kampung Baru seluruh negara manakala perkhidmatan serta kemudahan awam ditambah baik dan kampung yang mempunyai potensi pelancongan akan ditransformasi serta dipromosi.

    Bagi meningkatkan status sosioekonomi isi rumah kaum India berpendapatan rendah pula, pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India akan diteruskan dengan tumpuan ke arah menambah baik akses kepada pendidikan berkualiti serta menangani isu pencapaian pendidikan rendah dan kadar keciciran tinggi.

    Seterusnya bagi masyarakat Orang Asli, kajian untuk merangka pelan pembangunan yang komprehensif bagi meningkatkan status sosioekonomi masyarakat itu akan disiapkan pada 2025 yang akan dijadikan rujukan dalam merancang pembangunan kaum itu.

    Pada masa sama, masyarakat Orang Asli akan digalak untuk terlibat dalam perladangan tanaman komersial seperti kelapa sawit, getah dan koko melalui penanaman semula dan peluasan kebun kecil sedia ada untuk meningkatkan pendapatan.

    Di samping itu, mereka akan dibantu untuk mengkomersialkan kraf tangan tradisional, hasil hutan dan penternakan lebah sebagai sumber pendapatan tambahan serta kemudahan pembiayaan mikro manakala latihan kemahiran akan dipertingkat bagi membolehkan Orang Asli menceburi perniagaan.

    Kerajaan juga akan meningkatkan taraf hidup Orang Asli dengan menambah baik infrastruktur, perkhidmatan dan kemudahan asas melalui penyediaan air bersih, elektrik dan telekomunikasi yang diperluas serta dinaik taraf manakala perumahan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dipertingkat.

    ALSO READ:  Najib gagal ketepi Sequerah dari adili perbicaraan kes 1MDB

    Langkah juga akan dipergiat untuk menambah baik akses kepada Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak manakala Program Jom Belajar akan dijajarkan semula bagi meningkatkan literasi murid selain lebih banyak sekolah Model Khas Komprehensif 9 Tahun dinaik taraf kepada Model Khas Komprehensif 11.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts