Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menjalankan siasatan berkaitan kejadian seorang guru didakwa mengasari seorang murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah.
KPM dalam kenyataannya memaklumkan golongan pendidik dinasihatkan supaya sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme perguruan.
“Siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.
“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, di KUALA TERENGGANU, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Jabatan Pendidikan Terengganu Azman Othman @ Abdullah meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Saya tak dapat komen lebih lanjut kerana perkara ini masih dalam siasatan. Harap semua bertenang dan tidak membuat andaian sendiri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tular menerusi laman sosial, satu video berdurasi 41 saat memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap seorang murid.
Video berkenaan dipercayai dimuat naik oleh seorang guru lain di sekolah berkenaan yang tidak berpuas hati dengan tindakan terbabit.
– Bernama