Tindakan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menyenaraikan tiga pemimpin NGO Islam negara ini sebagai pengganas tetap meresahkan dan menunjukkan seolah-olah ada campur tangan asing, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Walaupun pada sidang media semalam Menteri KDN mengesahkan ketiga-tiga individu tersebut tidak terlibat dengan aktiviti keganasan, ia tetap meresahkan kita kerana ia seolah-olah tanda-tanda cubaan campur tangan pihak luar.
“Tindakan FBI melabelkan ketiga-tiga pemimpin NGO sebagai pengganas merupakan usaha berterusan Amerika Syarikat memerangi mereka yang membantu rakyat Palestin dan perjuangan membela kezaliman khususnya di Palestin,” katanya dalam kenyataan.
Kata Tuan Ibrahim, PAS yakin usaha pemimpin NGO terbabit membela nasib umat Islam di Palestin antara punca mereka disenaraikan sebagai pengganas oleh FBI.
“Apakah kerana sumbangan kemanusiaan mereka kepada mangsa kezaliman di Palestin dianggap pengganas? Bagaimana pula mereka yang menyalurkan senjata dan ketenteraan kepada Zionis bagi meneruskan pembunuhan kanak-kanak dan wanita tidak dianggap pengganas?
“Dunia harus berlaku adil kepada nasib umat Islam khususnya di Palestin,â katanya.
Tambahnya, kerajaan Madani perlu terus bertegas agar tidak mengikut telunjuk mana-mana pihak dalam isu keselamatan dan kedaulatan negara.
“Perkara ini mesti diuruskan dengan kewibawaan kita sendiri tanpa didorong oleh campur tangan asing termasuklah agensi perisikan asing sama ada daripada FBI atau Mosad,” katanya.
Semalam KDN mengesahkan tiga pemimpin NGO Islam yang disenaraikan dalam Terrorist Screening Center atau Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh FBI di AS, tidak terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.
Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata semakan KDN mendapati tiga pemimpin tersebut merupakan antara 359 ahli daripada 59 NGO tempatan yang mengerakkan bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin.
“Amerika (AS) dalam proses membuat rang undang-undang berkenaan pencegahan pembiayaaan antarabangsa terhadap Hamas. Itu usaha Amerika.
“Tapi, di pihak Malaysia, kita sedia maklum ada Ops Ihsan yang merupakan operasi kemanusiaan membantu penduduk Gaza adalah inisiatif kerajaan melibatkan sekumpulan NGO,” katanya.