Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menafikan dirinya terlibat atau mengetahui tentang gerakan untuk menjatuhkan kerajaan atau ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan.
Ismail yang juga bekas perdana Menteri mendakwa cubaan mengaitkan dirinya dengan gerakan tersebut merupakan satu fitnah.
“Saya tak tahu menahu ada atau tidak langkah (Langkah Dubai) tersebut. (Kerana) Saya tidak terlibat dan tidak ke Dubai.
“Saya berada di Mekah dan Madinah bersama keluarga menunaikan umrah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jelasnya, dia terus pulang ke tanah air selepas mengerjakan ibadah umrah dan menyoal kesahihan dakwaan tersebut.
“Dari Mekah, saya terus balik ke Kuala Lumpur pada 31 haribulan lebih kurang jam 1 pagi.
“Jadi, bagaimana saya terlibat dengan perjumpaan di Dubai jika saya tidak berada di Dubai?”
“Ia (dakwaan terlibat) fitnah sama sekali,” ujarnya.
Kelmarin, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop mendakwa wujud satu gerakan yang sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didalangi pemimpin parti pembangkang bersama wakil kerajaan.
Dia berkata rancangan yang digelar sebagai âLangkah Dubaiâ timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.
Pertemuan itu diadakan untuk memberikan tugas khusus kepada ‘pegawai’ yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.
Semalam, pegawai Khas Ahli Parlimen Bera, Affifi Aris dipetik SInar Harian berkata Ismail telah selamat menunaikan ibadah umrah dan menaiki penerbangan terus ke Kuala Lumpur tanpa singgah di Dubai.
âTak kenal dosaâ
Kata Affifi, ia sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa Ismail terlibat dalam Langkah Dubai bagi menukar kerajaan
Melalui perkongsian di Facebook Affifi, paparan foto dan video menunjukkan Ismail bertemu dan bersalaman bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas solat berjemaah di Masjid Nabawi, Madinah.
Untuk rekod, awal tahun ini, Ismail mendakwa menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang dilabelnya “tidak mengenal dosa” apabila dikaitkan dengan khabar mengenai ‘Langkah London’.
Dia menjawab dakwaan mengenai pertemuan rahsia beberapa pemimpin politik, termasuk dari Umno di London yang didakwa mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara.