Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Saturday, October 5, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlines‘Langkah tegas cegah rasuah isyarat pupuk persekitaran perniagaan telus, adil’

    ‘Langkah tegas cegah rasuah isyarat pupuk persekitaran perniagaan telus, adil’

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Langkah-langkah tegas pencegahan rasuah memberi isyarat penting kesungguhan kerajaan mahu memupuk persekitaran perniagaan yang telus lagi adil, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

    Baginda bertitah negara menghadapi cabaran besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi justeru tata kelola yang baik sangat diperlukan bagi membina keyakinan pelabur.

    “Negara tidak terkecuali mendepani cabaran landskap ekonomi global yang lebih rumit dipengaruhi dinamik geopolitik, hubungan perdagangan dan pakatan ekonomi kuasa-kuasa besar.

    “Malaysia tidak terlepas daripada kesan negatif akibat peperanangan Ukraine-Rusia serta konflik berpanjangan Palestin-Israel yang menjadi bertambah berat dengan peperanangan yang sedang berlaku di Gaza,” titah Sultan Nazrin pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini.

    Titah baginda usaha kerajaan memberi tumpuan kepada sektor-sektor pertumbuhan baharu merupakan inisiatif strategik yang mampu meletakkan ekonomi negara lebih berdaya saing di peringkat global dan amat penting untuk Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang stabil, aman dan harmoni.

    Baginda menegaskan negara yang stabil, aman dan harmoni akan berupaya membangunkan negara yang makmur sekali gus melimpahkan kemakmuran negara untuk manfaat rakyat jelata.

    “Negara yang stabil, aman dan harmoni akan dapat membangunkan warga yang kuat untuk membina negara yang kuat.

    “Negara yang kuat ialah negara yang warganya memiliki kematangan untuk menerima kelainan dan perbezaan, warga yang memiliki kedewasaan untuk menerima hakikat bahawa setiap warga memiliki kelemahan di samping kekuatan, tetapi warganya berminda pintar, memilih untuk menggabungkan kekuatan dan tidak membesar-besarkan kelemahan,” titah baginda.

    Sultan Nazrin bertitah warga yang memiliki semangat patriotik terhadap negara dan bangsanya akan memilih untuk bersatu daripada berpecah.

    Menyentuh mengenai pentadbiran Negeri, baginda bertitah Majlis Sukan Negeri mengambil langkah strategik memberi fokus mengupayakan dan memperkasakan sukan berprestasi tinggi.

    ALSO READ:  Menteri pengangkutan S'pura didakwa kes rasuah - laporan

    Titah baginda antaranya program pembangunan atlet dan jurulatih, mewujudkan prasarana sains sukan dan peralatan berteknologi tinggi serta memperkukuh persatuan dan pengurusan kejohanan di pelbagai peringkat.

    “Kerajaan cakna akan keperluan penyediaan kemudahan sukan yang kondusif dan selamat.

    “Dengan kerjasama, bantuan dan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan, beberapa projek pembinaan dan menaik taraf kemudahan sukan telah dilaksanakan di Negeri Perak, antaranya pembinaan Kompleks Sukan Bagan Datuk, projek naik taraf Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak dan projek naik taraf Kompleks Rakan Muda Kampar,” titah Sultan Nazrin.

    Baginda turut berkongsi kejayaan dicapai Negeri antaranya bandar raya Ipoh kini berada dalam peta muzik dunia setelah berjaya menerima pengiktirafan Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO dan Majlis Perbandaran Taiping yang diiktiraf sebagai Destinasi Alam Mesra Muslim Terbaik sempena Anugerah Pelancongan Islam Dunia 2023.

    “Majlis Daerah Selama mencipta kejayaan menerima tiga anugerah inovasi di peringkat Negeri dan kebangsaan melalui usaha menggerakkan kegiatan eko pelancongan berasaskan komuniti yang melibatkan 49 pengusaha tempatan sebagai rakan strategik pelancongan; pendekatan yang telah meningkatkan dua puluh enam peratus kedatangan pelancong ke Selama dalam tahun 2023,” titah baginda.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,237FansLike
    1,158FollowersFollow
    1,051FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts