Lebih kurang 1,000 ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai tanda sokongan terhadap Himpunan Pertahan Syariah yang dianjurkan oleh parti tersebut.
Sembilan hakim akan membuat keputusan mengenai permohonan semakan yang difailkan oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman untuk menentang Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Walaupun ia berkait dengan kesahan enakmen tersebut dan kepatuhan terhadap perlembagaan negara, PAS menganggap permohonan yang dikemukakan oleh peguam tersebut sebagai satu percubaan untuk menentang undang-undang syariah di negara ini.
Penghujahan utama permohonan Nik Elin dan Tengku Yasmin adalah untuk meminta Mahkamah Persekutuan membatalkan 20 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan dewan undangan Negeri tersebut melangkaui bidang kuasa mereka.
Sebelum ini, PAS telah mendakwa bahawa mereka berkumpul untuk “memperteguh perundangan syariah Negeri-Negeri” yang cuba diruntuhkan oleh pihak tertentu.
Beberapa pemimpin PAS yang terlihat hadir dan telah melakukan solat hajat di pekarangan kompleks mahkamah pagi itu termasuklah beberapa pemimpin kanan seperti timbalan presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad (naib presiden), Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), dan Ahmad Fadhli Shaari (ketua penerangan).
Tidak kurang juga bekas Setiausaha Agung BN Annuar Musa, serta Naib Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.
Kebanyakan orang ramai telah melafazkan “Jahanam Zionis”, “Hidup syariah” dan “Hancur liberal”.
[Laporan lanjut menyusul]