Selepas dua hari berlangsung, Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, mencatat kehadiran pengunjung memberangsangkan dengan lebih 100,000 orang direkodkan sejak semalam.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata jumlah itu sekali gus membuktikan program tiga hari itu yang akan melabuhkan tirai esok, berjaya mencapai matlamatnya dengan membawa secara terus perkhidmatan kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada rakyat.
“Apa yang saya dapat lihat ialah kebanyakan pengunjung gembira kerana apa dibawakan kementerian dan agensi mencapai matlamat. Sebagai contoh di ruang Karnival Kerjaya tadi, saya tengok begitu ramai sekali pengunjung mengambil kesempatan mendaftar kerana merasakan ini peluang terbaik untuk mendapatkan pekerjaan.
“Jadi kita jangkakan esok kehadiran pengunjung akan lebih ramai kerana hari terakhir program,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil meninjau persiapan akhir majlis penutupan program itu di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.
Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI itu akan menutup tirai esok dengan majlis perasmian penutupan dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program itu bertujuan untuk menyebar luas dan mempromosikan dasar serta inisiatif baharu setiap kementerian kepada rakyat di samping meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat, melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
– Bernama