Satu kes kematian akibat strok haba dilaporkan berlaku setakat ini membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kes kematian itu berlaku di Maran, Pahang pada 2 Feb lepas.
“Kita bersyukur kita belum berada di tahap ketiga iaitu gelombang haba ekstrem, namun ini boleh berlaku bila-bila masa jika kita lihat bahawa perubahan iklim dan berlakunya penipisan lapisan ozon menyebabkan negara kita tidak terlepas daripada cuaca panas ekstrem,
“Mudah-mudahan kita berusaha dengan cara yang baik termasuk pembenihan awan yang dilakukan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Angkatan Tentera Malaysia di beberapa kawasan tertentu,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.
Menjawab celahan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya mengenai kos pembenihan awan, Ahmad Zahid berkata setiap operasi berkenaan menelan belanja kurang RM100,000 dan ia bergantung kepada keadaan awan dan tiupan angin yang sesuai.
– Bernama