Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman berharap kelibatnya di kawasan itu dapat mengingatkan rakyat dan pengundi kepada Allahyarham Salahuddin Ayub.
Bercakap kepada pemberita, Nazri berkata dia juga akan meneruskan legasi Payung Rahmah yang dimulakan Allahyarham sekiranya dipilih mewakili penduduk di DUN Simpang Jeram.
“Alhamdulillah tadi saya ada berkunjung ke taman sekitar, saya lihat komitmen pengundi khususnya di DUN Simpang Jeram amat memberangsangkan.
“Jadi saya harap pengundi-pengundi bila lihat saya, lihat allahyarham Datuk Salahuddin Ayub. Insyaallah saya akan menyambung inisiatif Rahmah dan saya juga akan meneruskan aktiviti yang sepatutnya sebagai wakil rakyat,” katanya selepas hadir dalam program jalur gemilang bersama DUN Simpang Jeram, di Perhentian Teksi Bentayan, Muar, hari ini.
Nazri menyatakan penghargaan kepada kesungguhan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi dan keseluruhan jentera Umno-BN di DUN Simpang Jeram dalam usaha memastikan ahli Umno mengundi pada 9 Sept nanti.
“Saya lihat komitmen yang bersungguh-sungguh Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi membantu PH untuk memenangi pilihan raya kali ini dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri besar dan seluruh kepimpinan Umno di peringkat Negeri, bahagian, kawasan dan pusat,” katanya.
PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian Salahuddin yang juga Menteri perdagangan dalam Negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembezahan akibat pendarahan otak.
Nazri akan ditentang calon PN, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon bebas S Jeganathan dalam pertandingan tiga penjuru.
Salahuddin mempertahankan kerusi Simpang Jeram pada pilihan raya Negeri Johor pada Mac tahun lepas dengan meraih 8,749 undi menentang Zarul Salleh dari PN (6,350 undi), Lokman Md Don dari BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, terdapat 166,653 pengundi berdaftar, 165,799 pengundi biasa, 927 anggota polis dan pasangan, dan 26 pengundi pos luar negara di kawasan Parlimen Pulai.
DUN Simpang Jeram mempunyai 40,379 pengundi berdaftar, 40,373 pengundi biasa, dan enam pengundi pos luar negara.