Seorang pemimpin Umno menyifatkan Dr Mahathir Mohamad sememangnya tidak mahu SPRM menyiasat politik wang dalam Umno kerana dirinya sendiri adalah “raja kroni dan nepotisme”.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata malah Dr Mahathir juga punca politik perniagaan bermula dalam Umno.
“Macam mana nak suruh SPRM siasat. Tun M sendiri raja kroni dan nepotisme. Dia ‘bailout’ syarikat perkapalan milik anaknya Mirzan masa kegawatan ekonomi.
“Dia bawa masuk Tun Daim (Zainuddin) dalam Umno. Bermulalah politik perniagaan dalam Umno. Para korporat makin minat merebut jawatan parti.
“Tun M tidak peduli semua itu hatta Umno haram. Asalkan dia, anak dan kroninya selamat. Sebab itu mana mungkin SPRM diarah untuk siasat,” tulis Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Untuk rekod, Dr Mahathir menjadi presiden Umno kira-kira 22 tahun, dari 1981 sehingga persaraannya pada 2003.
Terdahulu, dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, Dr Mahathir berkata bukan menjadi tanggungjawabnya untuk memanggil SPRM menyiasat politik wang dalam Umno yang berlaku pada tahun 1990-an.
Jelas Dr Mahathir, pihak berkuasa tidak seharusnya menunggu arahan untuk bertindak, jika menyedari berlaku sebarang penyelewengan ataupun politik wang dalam Umno.
Tambahnya, dia tidak boleh dipersalahkan atas “budaya rasuah” yang menular dalam Umno sewaktu memimpin parti itu.