Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik aplikasi sosial yang memperolok isu jualan stoking bertulis kalimah Allah.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang kedudukannya lebih tinggi, membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen setelah Chiok Wai Loong, 34, sebelum ini mengaku bersalah membuat hantaran jelik.
Hakim Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan yang difailkan tertuduh, lapor media.
Peguam Chiok antaranya berhujah pengakuan anak guamnya bukan akuan jelas, tanpa syarat dan tidak boleh diterima.
Susulan itu, tertuduh diarah didakwa semula di Mahkamah Sesyen tetapi di hadapan hakim lain dalam kadar segera.
Chiok diwakili peguam hak asasi N Surendren manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh.
Ketika dituduh sebelum ini, Chiok ketika itu tidak diwakili peguam.
Dia mengaku membuat komen itu di Facebook, memohon maaf tetapi menjelaskan dia tidak berniat menghina agama lain.
Menjelaskan membuat komen seperti “jaguh siber”, dia berkata tidak tahu bahawa perkara itu sensitif kerana orang Cina boleh mempamerkan wajah dewa di pelbagai bahagian badan, termasuk kaki.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 231(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini, dia tampil mohon maaf terbuka dengan dikelilingi sekumpulan lelaki yang tidak berpuas hati, dipercayai anggota kumpulan silat.
Chiok mencetuskan kemarahan dengan cuba membuat kelakar dengan memuat naik gambar stoking yang memuatkan wajahnya sendiri dan kapsyen “saya hina diri sendiri”.