Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bersama isterinya, Betty Chew untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapi mereka.
Pesuruhjaya Kehakiman, Rofiah Mohamad, berkata berikutan itu perbicaraan kes tersebut akan diteruskan. Ini, katanya, memandangkan ada perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku melibatkan individu berbeza.
Mahkamah jenayah itu juga menafikan permohonan serupa oleh ahli perniagaan Phang Li Koon.
Ketika dihubungi, peguam Phang, V Sithambaram mengesahkan keputusan itu.
Lim, ketika dihubungi Malaysiakini, berkata dia dan isterinya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan pertuduhan berkenaan.
Pada 23 Jun tahun lalu, Lim dan Chew memfailkan permohonan itu, atas alasan bahawa pertuduhan semasa terhadap mereka adalah serupa seperti yang dikenakan terhadap Lim pada 2016, yang dia kemudiannya dibebaskan pada 2018.
Ini adalah berhubung dakwaan penukaran status tanah Negeri dan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
Dalam salinan afidavit yang menyokong permohonan membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu, pasangan suami dan isteri itu mendakwa bahawa pertuduhan sekarang melanggar hak asasi mereka. Ini kerana mereka dikenakan pertuduhan atas kesalahan sama yang mana mahkamah jenayah telah memberikan pembebasan.
Hujah Lim dan Chew, adalah seseorang tertuduh tidak boleh dibicarakan semula atas pertuduhan yang sama atau serupa, berikutan pembebasan atau sabitan.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!