Malaysia menyambut baik Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 mengenai Gaza yang menuntut gencatan senjata serta-merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia juga menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memastikan Israel memenuhi tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa dan menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin.
Malaysia berpendapat penerimaan resolusi itu merupakan satu kejayaan besar kerana konflik di Gaza bermula lebih dari lima bulan yang lalu.
âMalaysia telah sekian lama menyeru agar Majlis Keselamatan PBB memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk melindungi rakyat Palestin daripada kekejaman Israel yang sehingga kini telah meragut nyawa lebih dari 32,000 orang awam,â kata Wisma Putra.
Menurut kenyataan itu, sekatan sempadan rejim Israel telah mengakibatkan risiko kelaparan dan kekurangan gizi bagi 2.3 juta penduduk di Gaza.
“Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan terus berusaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB,” kata kenyataan itu.
UNSC meluluskan resolusi yang menuntut “gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang berkekalan.”
Resolusi itu juga menuntut “pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan memastikan akses untuk mereka mendapatkan keperluan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain.”
Sementara itu, Agensi Anadolu dalam laporannya mendakwa 14 negara menyokong resolusi yang dikemukakan oleh 10 ahli majlis yang dipilih, manakala AS tidak mengundi.
Israel telah melancarkan serangan ketenteraan maut di wilayah Palestin sejak 7 Oktober 2023 dengan lebih 32,333 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,694 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan.
Perang Israel – yang kini masuk ke hari ke-171 – mendorong 85 peratus penduduk Gaza menjadi pelarian di tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur di wilayah itu telah rosak atau musnah.
Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
Keputusan sementara pada Januari lalu mengarahkan Tel Aviv untuk menghentikan tindakan genosida dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
– Bernama