Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa Malaysia bersedia membuka semula siasatan mengenai insiden kehilangan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines hampir sepuluh tahun yang lalu, sekiranya terdapat bukti baharu dan kukuh.
“Mengenai insiden yang melibatkan MH370, kami telah membuat keputusan bahawa jika terdapat bukti kukuh yang memerlukan kes tersebut dibuka semula, kami pasti akan melakukannya.
âSaya dengan senang hati bersedia untuk membuka semula kes ini… Ia adalah isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan segala yang perlu dilakukan, akan kami lakukan,” katanya dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Australia Anthony Albanese di Melbourne sempena lawatan rasmi beliau ke Australia.
Sidang media tersebut berlaku sebelum Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia (ALM) Kedua, yang pertama kalinya diadakan secara bersemuka antara pemimpin dan pegawai tinggi kedua-dua negara sejak diperkenalkan pada tahun 2021.
8 Mac adalah ulang tahun ke-10 tragedi kehilangan pesawat malang itu.
Penerbangan MH370 Malaysia Airlines, yang membawa 239 penumpang dan krew, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Albanese turut mengakui bahawa beliau memahami kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh ahli keluarga mangsa.
“Kami faham bahawa ini adalah saat yang sangat sukar bagi ahli keluarga mangsa kerana mereka belum mendapat kepastian melalui misi pencarian yang berjaya. Ia amat sukar,” katanya.
– Bernama