Suara Malaysia
ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
Saturday, October 5, 2024
More
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala LumpurFly London from Kuala Lumpur
    HomeNewsHeadlinesMangsa pencemaran Sg Kim Kim deritai penyakit Myokymia - Bapa

    Mangsa pencemaran Sg Kim Kim deritai penyakit Myokymia – Bapa

    -

    Fly AirAsia from Kuala Lumpur

    Bapa mangsa pencemaran Sungai Kim Kim memaklumkan Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, semalam, bahawa anak lelakinya menghidap Myokymia akibat insiden itu dan belum sembuh kerana tiada ubat untuk penyakit tersebut.

    Idham Wazir A Wahab, 53, berkata kaki Irfan Wafiy, 17, yang merupakan plaintif pertama dalam kes saman menuntut ganti rugi RM30 juta berhubung pencemaran sungai itu, masih menggeletar dan kerap kejang.

    Beliau berkata kali terakhir anaknya, yang kini belajar di Maktab Rendah Sains MARA Johor Bahru, menerima rawatan ialah sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dan sehingga kini, tiada rawatan susulan daripada pihak Hospital Kuala Lumpur manakala doktor yang merawat Irfan Wafiy juga telah pencen.

    “Doktor maklumkan tiada ubat untuk Myokymia dan penyakit ini tiada rekod di Malaysia. Jadi apa yang dia bagi percubaan sahaja berdasarkan kes-kes di luar negara. Ubat itu tidak sesuai dengan anak saya. Bila anak saya makan, dia tidur… dia pelajar, takkan nak tidur,” katanya.

    Idham Wazir menjawab soalan peguam Walter Pereira yang mewakili Irfan Wafiy serta 41 plaintif pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Samsulbahri Ibrahim yang kemudian menetapkan 2 Jun depan untuk menyambung pendengaran kes saman itu.

    Plaintif terdiri daripada murid dan orang awam memfailkan saman itu pada Julai 2019 dan menamakan 12 defendan termasuk Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor, Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd serta seorang pekerja dan dua pengarahnya.

    Kesemua plaintif turut diwakili peguam-peguam Datuk Kamarudin Ahmad dan Radiah Karim manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohamed Azzam Zainal Abidin, yang juga Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, mewakili Kerajaan Johor, Menteri Besar serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor.

    ALSO READ:  K'jaan alu-alukan syarikat penerbangan mula operasi antarabangsa di LTSIP

    Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Zetty Zurina Kamaruddin, Nurul Farhana Khalid dan Safiyyah  Omar pula mewakili Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Kerajaan Malaysia manakala syarikat P Tech serta dua pengarahnya diwakili peguam-peguam Phang Soon Mun, Chew Chun Wei dan Yvonne Chai Yi Wen.

    Pernyataan tuntutan plaintif mendakwa defendan gagal memastikan keselamatan dan perlindungan penduduk di Pasir Gudang daripada ancaman pencemaran toksik serta gagal menggerakkan serta-merta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani pencemaran di Sungai Kim Kim.

    Akibat pencemaran itu, Irfan Wafiy cedera teruk di bahagian kaki sehingga tidak boleh berjalan seperti biasa manakala yang lain mengalami batuk, sesak nafas, sakit dada, pening serta cedera pada bahagian mata sehingga menjejaskan penglihatan.

    Selain ganti rugi am, khas dan teruk, plaintif memohon perintah agar Kerajaan Negeri Johor membiayai kos pemeriksaan kesihatan mereka untuk tempoh tiga tahun dari tarikh keputusan mahkamah.

    Insiden pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku pada Mac 2019 telah menggemparkan seluruh negara kerana menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang ditutup.

    Pada 30 Nov tahun lepas, seorang pemandu lori didenda RM100,000 kerana menyebabkan pencemaran di Sungai Kim Kim membabitkan pelupusan haram buangan terjadual.

    Syarikat P Tech Resources Sdn Bhd, yang berdepan lapan pertuduhan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, turut didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM320,000.

    Sementara itu, Kamarudin memaklumkan pemberita bahawa perbicaraan kes itu menamatkan penantian mangsa yang terjejas akibat pencemaran Sungai Kim Kim sejak lima tahun lepas.

    “Kita mohon supaya tujuh plaintif memberi keterangan pada perbicaraan kes ini bagi menjimatkan masa mahkamah namun mahkamah meminta kita mengemukakan kesemua 42 plaintif untuk memberi keterangan,” katanya.

    ALSO READ:  Germany's tighter border controls take effect, irking neighbours

    Beliau berkata kesemua plaintif juga terbuka untuk menyelesaikan kes itu secara baik di luar mahkamah serta masih menunggu jawapan daripada Pejabat Menteri Besar Johor dan sekiranya terdapat penyelesaian, ia akan dimaklumkan pada prosiding perbicaraan.

    – Bernama

    Suara
    Suarahttps://www.suara.my
    Tech enthusiast turning dreams into reality, one byte at a time 🚀

    Related articles

    Follow Us

    20,237FansLike
    1,158FollowersFollow
    1,051FollowersFollow
    1,251FollowersFollow
    ADVERTISEMENTFly London from Kuala Lumpur

    Subscribe to Newsletter

    To be updated with all the latest news, offers and special announcements.

    Latest posts