Kerajaan Malaysia, kata Saifuddin Abdullah, perlu menjalani proses penyusunan semula (reset) ekoran pengurangan hukuman penjara dan denda yang dikenakan ke atas Najib Razak.
Menurut ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu apa yang berlaku pada bekas perdana Menteri terbabit juga membuktikan kerajaan Madani secara konsisten mengecewakan rakyat yang menaruh harapan tinggi terhadap mereka.
“Telah tiba masanya untuk melakukan reset iaitu menyusun semula sistem dan institusi fundamental yang pernah menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.
“Kebanyakan sistem yang kita guna hari ini sudah memasuki fasa decay atau reput, dan reset ini tak akan berlaku jika kewujudan reput itu tidak kita akui,” katanya semasa sidang media di Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.
Saifuddin yang pernah menjadi pemimpin kanan dalam PH menambah, suatu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk membolehkan proses penyusunan semula itu dilaksanakan.
Katanya badan itu perlu membabitkan kumpulan pakar yang bebas daripada pengaruh politik, berpengalaman, mempunyai rekod cemerlang serta mewakili pelbagai kaum.
“Reset ini perlu praktikal, perkara yang sememangnya diperlukan rakyat seperti kos sara hidup.
“Rakyat sudah muak dengan memo atau manifesto, dan pasukan reset ini perlu diberi masa serta peluang seperti dipersetujui semua pihak, tanpa sebarang campur tangan politik,” katanya.
Tambah ahli parlimen Indera Mahkota itu lagi, cadangan itu merupakan pandangan yang ikhlas demi masa depan negara.
“Kita bukan bercerita untuk tukar kerajaan di sini, kita cadangkan pendekatan perlu dilakukan segera untuk memformat semula negara,” katanya lagi.