MCA sepatutnya tidak menjalinkan kerjasama dengan DAP hanya kerana kedua-dua parti itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, kata ketua Pemuda MCA, Nicole Wong.
“MCA tidak akan, tidak mahu, dan tidak boleh bekerjasama dengan DAP. Ini bukan kerana MCA mengada-ngada, tetapi kerana DAP selama 57 tahun yang lalu telah secara konsisten menghina MCA. Bukan hanya penghinaan, tetapi juga fitnah dan tohmahan.
“Kita tidak akan lupa bahawa DAP pernah mahu menghapuskan MCA, untuk membunuh sepenuhnya MCA, malah membuat video berkabung atas ‘kematian MCA’,” kata Wong semasa ucapan terakhirnya sebagai ketua pemuda parti itu pada mesyuarat agung tahunan MCA (AGM) hari ini.
Wong berkata semua penghinaan ini ‘diingati dengan jelas’.
Tambahnya MCA bekerjasama dengan DAP dalam senario politik semasa, ia sama seperti parti itu mengorbankan maruahnya demi jawatan.
“Kita perlu mengenang pengorbanan pejuang MCA terdahulu yang mengorbankan diri untuk masyarakat Cina dan negara, demi menghadapi tohmahan jahat DAP.
“Walaupun DAP berkuasa hari ini, mereka tidak lupa pendekatan konsisten mereka, iaitu terus menyerang MCA.
“Generasi MCA adalah barisan pertahanan terakhir, dan kita mesti memikirkan bagaimana untuk terus bertahan dan menjadi penyambung untuk kelahiran semula MCA.
“Saya ulangi, MCA boleh menyokong kerajaan perpaduan demi kestabilan negara tetapi tidak boleh bekerjasama dengan DAP,” jelasnya.
Dia berharap pemimpin MCA akan mempertahankan pendirian tersebut atau parti itu akan dipandang rendah masyarakat Cina.
Wong akan melepaskan jawatan sebagai ketua Pemuda MCA kerana faktor usia dan tempatnya akan digantikan Exco Johor, Ling Tian Soon.