Pendokong kebebasan akhbar di negara ini dan serantau mempersoalkan tindakan kerajaan baru-baru ini mengeluarkan kad media dengan tempoh sah dipendekkan kepada wartawan media dalam talian daripada pelbagai agensi berita.
Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), Teh Athira Yusof berkata tindakan itu bertentangan dengan janji kerajaan untuk mempertahankan kebebasan akhbar.
âDalam janjinya untuk memperluaskan industri media menjadi lebih inklusif, tindakan kementerian ini dilihat sebagai satu langkah ke belakang.
âKami membuat gesaan ini untuk memastikan kebajikan wartawan dilindungi apabila mereka menjalankan tugas sebagai tonggak keempat,â katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa wartawan dalam talian menerima kad media yang hanya mempunyai tempoh sah selama enam bulan, manakala yang lain, termasuk wartawan Malaysiakini, diberikan kad dengan tempoh sah selama satu tahun.
Tempoh itu jauh lebih singkat berbanding dua tahun untuk kad media yang dikeluarkan kepada media tempatan dan bercanggah dengan dasar yang dinyatakan di laman web Jabatan Penerangan.
Sumber Jabatan Penerangan hari ini berkata ia kini dalam proses menyemak prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran kad media.
Ini susulan arahan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil semasa pelancaran Kod Etika Media Jabatan Penerangan pada 20 Feb lepas.
Mengulas lanjut, NUJM menggesa kerajaan mempertimbangkan semula tempoh sah standard selama dua tahun apabila mengeluarkan kad media untuk semua pengamal media.
Sambil menyeru ketelusan mengenai perkara itu, Teh Athira berkata dasar baru itu akan menghalang wartawan daripada menjalankan tugas mereka di fasiliti kerajaan.
“Nampaknya, semakin kita meminta kebebasan akhbar, semakin mereka cuba mengawal dan mengambilnya kembali dengan cara lain,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) juga mempersoalkan kurangnya ketelusan terhadap proses semakan Jabatan Penerangan.
Pengarah eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu berkata perkembangan baru-baru ini mewujudkan “suasana ketidakpastian” bagi pengamal media dalam talian, dengan memberi kesan terhadap integriti maklumat yang diterima oleh pengguna media.
âApakah kriteria untuk semakan ini? Setakat ini tiada ketelusan.
âAdakah akan ada mekanisme rayuan? Pada akhirnya, langkah ini memberi impak bukan sahaja kepada pengamal media tetapi juga kepada hak orang ramai untuk membuat keputusan termaklum,â katanya kepada Malaysiakini.