MIC akan mengadakan pengundian jawatan presiden bagi penggal 2024 hingga 2027 pada 12 April ini, dengan hari pencalonan ditetapkan pada 27 Mac ini dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari di tingkat lima ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden Datuk Seri M Saravanan berkata perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC yang bermesyuarat hari ini.
Beliau turut memberitahu tidak akan bertanding bagi merebut jawatan tertinggi parti pada pengundian nanti.
Jawatan presiden MIC kini disandang oleh Tan Sri SA Vigneswaran.
“Mengikut perlembagaan MIC, tempoh presiden MIC tamat pada 25 Mei 2024. Oleh itu berdasarkan perlembagaan (parti) satu pengundian perlu diadakan sebelum tamat tempoh presiden,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur.
Calon yang ingin bertanding untuk jawatan presiden boleh menawarkan diri dengan mengisi borang yang diedarkan bermula hari ini, dengan seorang pencadang dan seorang penyokong diperlukan.
Saravanan berkata ketua-ketua cawangan yang telah menjalankan mesyuarat tahunan pada 2024 boleh menjadi pencadang dan penyokong untuk pengundian presiden.
– Bernama