PRK KKB | Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, menafikan dakwaan bahawa salah satu parti komponen BN akan memboikot gerakan kempen parti kerajaan yang cuba mempertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.
Kata Anwar, pemimpin tertinggi MIA, SA Vigneswaran, sudah menghubunginya semalam untuk mengemas kini situasi semasa.
Ditanya media selepas berucap merasmikan konvensyen khas PKR sempena sambutan ke-25 tahun parti itu di Shah Alam, hari ini, Anwar berkata dakwaan tersebut adalah tidak benar.
“Tak betul, Presiden MIC (Vigneswaran) menghubungi saya samalam.
“Dia akan pergi (Kuala Kubu Bharu) esok… Isnin. You dengar daripada siapa?” katanya.
Sebelum ini Vigneswaran dipetik Malaysiakini sebagai berkata MIC tidak akan terlibat berkempen membantu calon parti kerajaan perpaduan di Kuala Kubu Bharu.
Katanya hal itu kerana pendirian MIC sebelum ini ialah hanya akan berkempen dalam sesuatu pilihan raya jika ia melibatkan calon BN.
“Kerusi Kuala Kubu Bharu tidak ditandingi oleh BN. Jadi MIC tak akan terlibat,” katanya.
Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya dari DAP Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.