Dr Mahathir Mohamad mengakui dia risau memikirkan nasib anaknya Mirzan, yang kini disiasat dalam tindakan yang didakwanya terlibat oleh pihak berkuasa.
Bekas perdana Menteri berkata, notis arahan pengisytiharan harta yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini tidak masuk akal.
Hal itu kerana, katanya, Mirzan, perlu menjelaskan sumber aset yang diperolehinya sejak 42 tahun lalu dalam tempoh yang begitu terhad.
“Risaulah… sebagai anak saya, dia diberitahu untuk memberi penjelasan mengenai segala transaksi yang dilakukannya sejak usia 20 tahun.
“Yang tu dia kena jawablah dia boleh jawab atau tidak dalam tempoh 30 hari…. 42 tahun punya transaksi kena jawab dalam 30 hari,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, petang ini.
Menurut Mahathir, untuk membolehkan anaknya yang berusia 66 tahun itu memberi penjelasan, banyak pihak yang perlu dihubungi.
“Dia perlu bertanya kepada bank, Petronas, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan perlu mengkorek pejabatnya kerana perlu tunjuk bukti,” katanya lagi.