Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar telah dilantik semula sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 16 November ini dan jawatannya akan berkuat kuasa sehingga 15 November 2025.
Pengumuman mengenai pelantikan tersebut telah disiarkan di laman rasmi Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini. Pelantikan kali kesembilan Mohamad Asfia ini bagi jawatan Speaker DUN adalah susulan tamatnya tempoh jawatan beliau yang sebelum ini pada 15 November.
“Istiadat pengangkatan sumpah Mohamad Asfia telah berlangsung di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, di kediaman rasmi beliau pada hari ini.
“Dalam istiadat tersebut, Tan Sri Mohamad Asfia turut menandatangani surat sumpah sebagai Speaker DUN Sarawak untuk tempoh dua tahun,” menurut kenyataan tersebut.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Speaker DUN Sarawak, Datuk Idris Buang dan Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Saferi Ali.
– Bernama