Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani pembezahan di Hospital Putrajaya.
Mohd Na’im yang sebelum ini menjalani pembezahan membuang batu karang dari kelenjar air liur berkata beliau akan meneruskan rawatan dan terapi di rumah.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih atas segala khidmat dan jasa baik yang diberikan oleh warga kerja Hospital Putrajaya terutamanya kepada doktor dan jururawat yang merawat saya sepanjang menjalani rawatan di sini.
“Semoga Allah merahmati semua warga kerja petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan tulus ikhlas mengharapkan reda Allah jua,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook hari ini.
Mohd Na’im yang menerima rawatan di hospital itu sejak beberapa hari lepas, turut menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
– Bernama