Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar Pangakalan Data Utama (Padu) dipindahkan ke bawah bidang kuasa Kementerian Digital kerana menurutnya Menteri yang bertanggungjawab pada masa ini, Rafizi Ramli tidak boleh dipercayai.
Wan Ahmad Fayhsal berkata ini kerana Menteri ekonomi itu mempunyai kaitan dengan syarikat data, Invoke Solutions Sdn Bhd.
Dia berkata Rafizi dahulu adalah “saudagar data” menerusi syarikat tersebut yang diasaskannya.
“Saya ingin cadangkan mungkin untuk memastikan Padu selamat, terkawal dan dipercayai rakyat, ia dipindahkan ke bawah Menteri digital.
“Apa yang saya khuatir, rakyat tak percaya kepada Pandan (Rafizi) sebab dia ini dulu saudagar data, dia buat kerja di Invoke.
“Kita tahu apa dia buat (berhubung kebocoran data) dalam pengundian PKR dulu. Jadi saya yakin jika Menteri Digital (Gobind Singh Deo) yang pegang Padu, rakyat akan lebih ramai menyertainya (dengan mendaftar),” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Invoke Malaysia adalah entiti yang diasaskan Rafizi pada 2016.
Setakat 23 Mac lalu, bilangan pendaftaran dalam sistem Padu meningkat kepada 7.7 juta, berbanding 5.4 juta yang direkodkan pada 17 Mac lepas.
Terdahulu hari ini, Rafizi berkata terdapat antara 300,000 ke 400,000 pendaftaran sehari dibuat pada tempoh minggu lepas.
Antara yang melahirkan kebimbangan berkenaan sistem tersebut adalah kerajaan Sarawak yang antaranya menyifatkan pendaftaran ibarat “menelanjangkan diri” kerana perlu mendedahkan butiran peribadi seperti akaun bank, hartanah dan pelaburan.
Susulan itu, Rafizi berkata sesi taklimat akan diadakan bersama-sama wakil kerajaan Sarawak bagi menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang dibangkitkan.
Jangan hukum pembangkang
Wan Ahmad Fayhsal turut menasihatkan kerajaan agar cermat dalam melaksanakan RUU tersebut kerana amat penting pembezaan antara perlindungan data dan privasi.
Mengakui kepentingan undang-undang keselamatan siber, ahli parlimen Bersatu itu berkata kerajaan tidak boleh menyalahgunakannya untuk menghukum pembangkang.
“Janganlah nanti kalau sudah diluluskan undang-undang ini, (ia) disalahgunakan (dengan) menzalimi khususnya pembangkang,” katanya.